- Iklan -
Berita

Speaker Dewan Rakyat persoal dakwaan Tommy Thomas tentang reformasi SPR

Azhar didakwa menentang usaha untuk meminda undang-undang yang membenarkan orang awam mencabar keputusan SPR semasa pilihan raya.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Bekas peguam negara Tommy Thomas dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menjawab kembali dakwaan terhadapnya oleh bekas peguam negara Tommy Thomas dalam autobiografi terbaru yang menyerang beberapa individu yang bekerja bersama-samanya semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Thomas mendakwa Azhar yang merupakan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa kerajaan PH, menentang usaha untuk meminda undang-undang yang membenarkan orang awam mencabar keputusan SPR semasa pilihan raya.

Thomas mendakwa langkah untuk memansuhkan klausa penyingkiran itu turut mendapat tentangan daripada jabatan peguam negara, kementerian dalam negeri dan perbendaharaan.

“Yang amat mengejutkan, bantahan datang daripada Suruhanjaya Pilihan Raya,” kata Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Buku setebal 552 muka surat itu ditulis dengan bantuan beberapa ahli politik termasuk Liew Chin Tong dan Syahredzan Johan daripada DAP, termasuk bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan dan ahli perniagaan Kalimullah Hassan dari ECM Libra Group, masih belum dijual di kedai buku tetapi versi PDF sudah mula disebarkan di media sosial termasuk WhatsApp.

Klausa penyingkiran itu merujuk kepada peruntukan mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya yang menghalang daftar pemilih yang sudah diperakukan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Thomas berkata selepas mendengar pandangan pengerusi SPR itu, beliau menelefon Azhar yang juga merupakan seorang peguam yang popular dengan nama gelaran Art Harun.

“Saya betul-betul terkejut apabila Art Harun mempertahankan pendirian SPR, dan beliau juga percaya beberapa klausa penyingkiran dalam undang-undang SPR adalah sesuatu yang sangat diperlukan,” katanya.

“Kita berdebat selama beberapa ketika, tetapi bila saya sedar Azhar tetap dengan pendiriannya, saya mematikan perbualan telefon kami”.

Thomas kemudiannya mengatakan Azhar menentang pentadbiran yang baik dan menambah ini dapat dilihat apabila Azhar menerima jawatan speaker Dewan Rakyat.

“Tidak perlu terkejut beliau kurang menyokong pentadbiran yang baik, dengan keterbukaan dan akauntabiliti penjawat awam yang keputusannya harus terbuka untuk diteliti oleh mahkamah”.

Thomas kemudiannya mengakui beliau tidak meneruskan usaha untuk memansuhkan klausa itu.

Apabila dihubungi, Azhar memberitahu MalaysiaNow keputusan untuk tidak bersetuju dengan cadangan Thomas untuk memansuhkan klausa penyingkiran itu bukan keputusannya sendiri.

Katanya terdapat beberapa sebab yang praktikal untuk membiarkan klausa itu dikekalkan.

“Yang paling penting dalam fikiran saya adalah bagaimana jika daftar pemilih dicabar sebaik sahaja perintah pilihan raya dikeluarkan atau lebih parah lagi selepas penamaan calon?” katanya.

Katanya terdapat beberapa keputusan operasi yang perlu dibuat SPR seperti lokaliti pengundian, tempat mengundi, jumlah saluran, jenis bendera dan logo yang akan digunakan.

“Bagaimana jika semua ini dicabar di mahkamah selepas penamaan calon atau selepas perintah dikeluarkan?” soalnya.

Azhar mempersoalkan mengapa Thomas menumpukan kepada klausa penyingkiran SPR sedangkan terdapat banyak klausa lain yang membenarkan keputusan akhir dilakukan pelbagai cabang eksekutif dalam kerajaan.

Katanya, beliau seringkali berbincang berhubung pendirian SPR dengan pihak berkepentingan termasuk bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga dan Wong Chin Huat yang aktif berhubung isu reformasi pilihan raya.

“Saya terangkan kepada mereka, dan kemudiannya kepada Tommy tentang masalah yang akan dihadapi SPR sekiranya klausa penyingkiran itu dimansuhkan,” tambah Azhar.

Azhar berkata dalam satu mesyuarat bi partisan, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah turut bersetuju dengan penjelasannya tentang keperluan mengekalkan klausa penyingkiran itu.

“Selepas penjelasan saya kepada semua yang hadir, beliau berkata ya lah, macam mana nak kendalikan pilihan raya jika keadaan seperti itu,” kata Azhar kepada MalaysiaNow.

Azhar berkata, adalah salah untuk mengatakan beliau seratus peratus menentang hak untuk mencabar SPR tetapi agak penting untuk mengambil jalan tengah.

Katanya, ini termasuk membenarkan sesetengah pihak mencabar sesuatu perkara pada waktu-waktu tertentu.

Katanya, secara alternatifnya, beliau mencadangkan badan bebas untuk menghakimi urusan pilihan raya, mengatakan ia merupakan penyelesaian lebih praktikal berbanding campur tangan kehakiman yang akan merumitkan lagi fungsi SPR.

Azhar mengkritik Thomas kerana menumpukan kepada klausa penyingkiran SPR tetapi membenarkan klausa sama untuk undang-undang lain.

Azhar menunjukkan memo ditulisnya kepada Thomas tentang mencari jalan tengah.

“Saya tidak menolak. Saya cuba mencari jalan penyelesaian lebih baik, bukan semata-mata memansuhkan klausa penyingkiran yang menyebabkan mustahil untuk menjalankan pilihan raya,” kata Azhar.

Pada pandangan Azhar, kritikan Thomas terhadapnya adalah bersifat peribadi.

“Untuk mengatakan saya menolak sepenuhnya dan mengaitkannya dengan pelantikan saya sebagai speaker adalah sesuatu yang buruk daripadanya,” katanya.