- Iklan -
Berita

Isa Samad selesai bayar jamin tambahan RM700,000

Isa Samad juga telah memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang disabitkan semalam atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, selesai membayar wang jaminan tambahan RM700,000 di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang disabitkan semalam atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, selesai membayar wang jaminan tambahan RM700,000 di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama

Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta semalam berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, selesai membayar wang jaminan tambahan RM700,000 yang diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini.

Isa, 71, yang hadir memakai baju kemeja belang biru tiba di mahkamah pada jam 10.36 pagi hari ini bersama isterinya Bibi Sharliza Mohd Khalid yang merupakan penjamin.

Isa yang membuat bayaran jaminan di kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi dilihat beredar dari mahkamah pada pukul 1.52 tengah hari.

Semasa fotonya dirakam jurukamera di lobi mahkamah, Isa sempat berseloroh dengan menyergah jurukamera sebelum menuju ke arah keretanya sambil berkata “jarak, jarak, jarak, patuh prosedur operasi standard (SOP) kalau tidak bayar denda RM1,000”, membuatkan petugas media yang membuat liputan ketawa.

Sementara itu, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga telah memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya.

Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakili Isa, Siti Sarah Khalil ketika ditemui di lobi mahkamah di sini dan notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Tinggi pukul 11 pagi tadi.

Isa diperintahkan membayar ikat jamin tambahan RM700,000 selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan ke atas Isa.

Sebagai syarat tambahan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga rayuan selesai.

Isa dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara 6 tahun sahaja setelah Mohd Nazlan memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.