Publisiti negatif merupakan impian penerbit buku kerana ia akan menyebabkan sifat ingin tahu orang ramai tentang isi kandungannya akan melariskan jualan.
Akan tetapi bagi penerbit autobiografi bekas peguam negara Tommy Thomas, terdapat kebimbangan ia akan diharamkan oleh kerajaan, selepas beberapa laporan polis dibuat dan ancaman tindakan undang-undang.
Chong Ton Sin yang memiliki syarikat GB Gerakbudaya Enterprise bagaimanapun berkata, buku itu tidak mempunyai ciri-ciri yang kebiasaannya dijadikan sebab oleh kementerian dalam negeti untuk diharamkan.
“Tapi bagi kes Tommy saya rasa ia mungkin lain sedikit, sebab dia bercakap mengenai undang-undang yang tidak betul atau tipu sana sini, jadi sesiapa sahaja boleh buat laporan polis dan boleh saman,” kata Chong yang juga bekas tahanan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) kepada MalaysiaNow.
Thomas dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” menceritakan pengalamannya sepanjang menjadi peguam negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
“Saya tidak akan berhenti terbitkan buku ini sehingga KDN klasifikasikannya sebagai haram,” katanya.
Akan tetapi sejak berada di pasaran, buku itu mengundang kritikan daripada individu yang dinamakan termasuk bekas pegawai Thomas di Jabatan Peguam Negara.
Thomas membuat beberapa pegakuan dalam bukunya termasuk cita-citanya untuk menjadi peguam negara sejak 2013 dan sokongan daripada pemimpin tertinggi DAP untuk pelantikannya.
Buku setebal 552 muka surat itu ditulis dengan bantuan beberapa ahli politik termasuk Liew Chin Tong dan Syahredzan Johan dari DAP, bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan dan ahli perniagaan Kalimullah Hassan dari ECM Libra Group.
Versi PDF lengkap buku itu sudah tersebar di platform media sosial termasuk WhatsApp, menyebabkan Chong memberikan amaran tindakan undang-undang bakal diambil kepada sesiapa yang menyebarkannya.
Chong bagaimanapun tidak terganggu dengan ancaman tindakan undang-undang, mengatakan buku itu akan terus dijual dan cetak ulang sedang berjalan.
“Saya tidak akan berhenti terbitkan buku ini sehingga KDN klasifikasikannya sebagai haram,” katanya.
Antara yang dikritik Thomas dalam bukunya berhubung beberapa peristiwa termasuk Dr Mahathir Mohamad, pegawai kanan kerajaan, peguam swasta, peguam negara, bekas peguam negara dan speaker Dewan Rakyat.
Thomas turut mengatakan beliau tidak meyakini kemampuan peguam-peguam kerajaan untuk menguruskan kes berprofil tinggi termasuk pendakwaan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.
Kenyataan itu menyebabkan Thomas diselar Peguam Negara Idrus Harun yang mengatakan Thomas menghina pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara.
“Saya ingin menekankan dan memberikan jaminan bahawa saya tidak akan terpengaruh dengan kandungan buku tersebut yang jelas menunjukkan pemikiran dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam seperti Jabatan Peguam Negara dan fungsi peguam negara itu sendiri,” kata Idrus.
Semalam, bekas peguam negara, Apandi Ali membuat laporan polis, mengatakan buku Thomas secara amnya mengandungi tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali terhadapnya dan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Sebelum itu bekas peguam cara III, Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis terhadap Thomas, mendakwa petikan daripada buku itu merosakkan imej beliau sebagai timbalan pendakwaraya yang berkhidmat selama 33 tahun.
“Apa yang ditulisnya dalam buku setebal 248 muka surat itu adalah tidak betul, dia menggambarkan seolah-olah saya seorang pemalas dan tidak dapat menangani pendakwaan dalam perbicaraan berkaitan dana SRC International,” menurut laporan polisnya, merujuk kepada kes membabitkan Najib Razak pada tahun 2018, semasa beliau menjadi ketua bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara.
Buat masa ini, publisiti terhadap buku itu menyebabkannya laris terjual.
“2,000 di peringkat pertama dan selepas habis terjual, 5,000 naskah lagi dicetak,” katanya kepada MalaysiaNow.