- Iklan -
Berita

Selepas PKP 2.0, masa depan industri pelancongan bertambah gelap

Penutupan hotel secara tidak langsung menjejaskan ramai pihak yang berusaha mencari pendapatan bagi meneruskan hidup.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Sungai Melaka yang sebelum ini menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara kini lengang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan kerajaan.
Sungai Melaka yang sebelum ini menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara kini lengang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan kerajaan.

Pengumuman Putrajaya untuk melanjutkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari bagi mengekang penularan Covid-19 menambahkan lagi penderitaan industri pelancongan di Malaysia yang tidak ubah seperti “sudah jatuh ditimpa tangga” kerana selain banyak hotel sudah ditutup, ramai juga yang hilang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata keadaan akan bertambah tenat tahun ini selepas kerajaan kembali melaksanakan PKP bermula 13 Januari lalu.

Menurut Yap, Malaysia masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk membuka pintu masuk negara bagi membolehkan kedatangan pelancong asing.

“Memasuki Februari 2021 ini tanpa sebarang perancangan untuk membuka semula sempadan antarabangsa disebabkan kita masih lagi dalam tempoh PKP,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Industri pelancongan kini dilihat semakin hilang harapan untuk kembali pulih dalam tempoh masa terdekat memandang ketiadaan pelancong luar ataupun tempatan”.

Yap berkata, lebih 90 buah hotel di negara ini terpaksa gulung tikar akibat pelaksanaan beberapa siri PKP sepanjang penularan pandemik Covid-19 bermula Mac tahun lalu.

“Ada yang tutup sepenuhnya dan ada yang tutup sementara sehingga situasi industri pelancongan bertambah baik,” katanya.

Yap berkata, lebih 12,000 orang pekerja hotel sudah diberhentikan manakala yang lain sama ada dipotong gaji atau diminta bercuti tanpa gaji.

“Industri pelancongan kini dilihat semakin hilang harapan untuk kembali pulih dalam tempoh masa terdekat memandang ketiadaan pelancong luar ataupun tempatan”.

Hilang pekerjaan, dipotong gaji

Zuraidah Zuraimi adalah antara mangsa pandemik Covid-19 yang diberhentikan sebagai cef dari sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang disebabkan pihak pengurusan sudah tidak mampu lagi untuk membayar gaji pekerja.

Wanita berumur 27 tahun itu merupakan antara 14 pekerja yang diberhentikan hotel itu turut menampung kos pembelajaran lima adiknya dalam lingkungan umur tujuh hingga 17 tahun.

Demi untuk meneruskan hidup dan menanggung adik beradiknya, Zauraidah memulakan perniagaan kek “Bakery Chef Eyda” secara dalam talian.

“Saya menjaga lima orang adik di rumah mak cik yang terletak di Pulau Pinang memandangkan kedua orang tua berada di Perak. Kami terpaksa berpisah buat sementara waktu memandangkan ayah disahkan positif Covid-19 dan disarankan untuk menjalani kuarantin di rumah oleh pihak hospital.

“Selepas diberhentikan, saya berusaha untuk mencari pekerjaan lain namun sehingga kini masih belum memperoleh sebarang pekerjaan. Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk berniaga online,” katanya.

Sharifah Nazirah Syed Zainol Abidin seorang pengurus perhubungan awam di sebuah hotel di Selangor tidak menafikan terpaksa menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah.

Biarpun pihak pengurusan hotel tidak mengambil langkah memberhentikan lebih 1000 pekerja hotel itu, gaji mereka dipotong sebanyak 20% akan tetapi pihak hotel melancarkan inisiatif bagi membantu pekerja untuk menjana lebih pendapatan menerusi bazar secara dalam talian.

“Pihak pengurusan mengadakan bazar online bagi membolehkan mereka menjual sebarang jenis barangan atau makanan sesama kakitangan.

“Aktiviti itu secara tidak langsung membuka peluang untuk meraih lebih pendapatan sehingga mampu mencecah RM 1,800,” katanya kepada MalaysiaNow mengenai aktiviti yang diadakan sebulan sekali bermula tiga bulan lalu.

Usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan komen daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri tidak berjaya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.