- Iklan -
Berita

Tommy Thomas bakal berdepan tuduhan menghina mahkamah

Tommy Thomas mengeluarkan beberapa kenyataan yang mempertikaikan kredibiliti tertuduh dalam pembunuhan itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Samirah Muzaffar menghadapi tuduhan membunuh suaminya yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund. Gambar: Bernama
Samirah Muzaffar menghadapi tuduhan membunuh suaminya yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund. Gambar: Bernama

Pihak pembelaan bagi kes pembunuhan bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan hari ini membangkitkan tentang kenyataan bekas peguam negara, Tommy Thomas yang dianggap sebagai menghina mahkamah dalam buku tulisannya “My Story: Justice in the Wilderness” baru-baru ini.

Peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Indera Ab Karim Ab Rahman berkata terdapat kandungan perenggan dalam buku itu yang menghina mahkamah.

Thomas dalam bukunya meragui kredibiliti Samirah Muzaffar dan dua anak lelakinya yang didakwa melakukan pembunuhan bekas suaminya Nazrin pada 2018.

“Versi bekas isteri dan dua anak lelakinya, bahawa bilik di tingkat atas rumah mereka terbakar, menjadi punca kematian bekas suaminya dan juga bapa kepada anaknya seakan tidak berasas. Apa yang luar biasa adalah penjelasan mereka mengenai punca kebakaran itu,” tulis Thomas dalam bukunya, yang dipertikaikan beberapa individu terkemuka.

Buku itu turut menerima kecaman selepas ia dilihat menghina bekas kakitangannya di Jabatan Peguam Negara.

Thomas menulis keterangan tertuduh hanya menimbulkan syak wasangka.

“Menurut mereka, telefon bimbit Nazrin terbakar. Pembantu rumah mereka kemudian cepat-cepat meninggalkan rumah dan balik ke Indonesia sebelum polis dapat mengambil keterangannya. Ia menambahkan lagi kecurigaan.”

Shafee hari ini mempertikaikan kenyataan menyentuh kepada merit kes perbicaraan yang sedang berlangsung dan memohon mahkamah untuk mengambil tindakan ke atas penghinaan Thomas.

Mahkamah kemudian mencadangkan pihak pendakwaan memulakan prosiding menghina.

Pihak pendakwa mengatakan mereka akan memutuskan mengenai perkara itu.

Samirah, 46, merupakan bekas pegawai kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, dan dua anak lelakinya berumur 18 dan 15 tahun, serta pembantu warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih tidak dapat dikesan dituduh membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petelaing Jaya antara tengah malam pada 13 Jun sehingga awal pagi 14 Jun tahun 2018.

Perbicaraan bersambung pada 19 Februari.