Putrajaya hari ini menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baru Cina dengan membenarkan makan besar keluarga akan tetapi tanpa melibatkan rentas daerah dan negeri.
“Mesyuarat bersetuju makan besar keluarga (family reunion dinner) pada 11 Februari 2021 dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10km radius tanpa rentas daerah dan negeri,” kata kementerian perpaduan negara dalam satu kenyataan petang ini.
Selain itu, Putrajaya juga bersetuju untuk membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari akan datang dengan SOP yang ketat.
“Seperti bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
“Tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja.
“Aktiviti sembahyang pada 19 Februari 2021 dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi ‘Hokkien Clan’”.
Sebelum ini SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menimbulkan kekecohan di media sosial apabila makan besar keluarga hanya dibenarkan bagi yang tinggal di rumah yang sama.