- Iklan -
Berita

Ibu tunggal, 7 anak kongsi satu peranti untuk jalankan perniagaan, belajar

Anak-anaknya bergilir menggunakan peranti itu menyebabkan sesi PdPR sering terganggu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Dr Wee Ka Siong (tiga,kiri) memberikan dua buah telefon pintar kepada anak-anak seorang ibu tunggal, Umi Naza Osman (kanan) untuk memudahkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Dr Wee Ka Siong (tiga,kiri) memberikan dua buah telefon pintar kepada anak-anak seorang ibu tunggal, Umi Naza Osman (kanan) untuk memudahkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Gambar: Bernama

Seorang ibu tunggal berniaga dalam talian dan tujuh orang anaknya mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dengan berkongsi satu-satunya telefon pintar milik keluarga itu.

Umi Naza Osman, 36, berkata kerana hanya ada satu peranti iaitu telefon pintar miliknya, anak-anaknya bergilir menggunakan peranti itu menyebabkan sesi PdPR anak-anaknya sering terganggu apabila adanya pertindihan waktu pembelajaran antara satu sama lain.

Anak sulung di tingkatan lima hinggalah anak bongsunya yang berusia empat tahun di taska mengikuti modul pembelajaran menggunakan telefon pintar.

Beliau berkata adakalanya sesi pembelajaran anak-anaknya turut terganggu apabila ada pelanggan menghubungi untuk membuat tempahan kerepek ubi atau kerepek pisang yang kini menjadi sumber pendapatan utamanya.

“Selama ini saya khuatir apabila anak-anak saya tidak dapat menumpukan perhatian apabila terdapatnya gangguan sama ada terpaksa berkongsi peranti atau adanya tempahan untuk perniagaan saya yang dilaksanakan secara kecil-kecilan ini.

Bukannya saya tidak mahu membelikan telefon lain, tetapi pendapatan saya ini terpaksa saya dahulukan untuk keperluan lain, termasuklah membayar duit sewa rumah sebanyak RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Rahmat, Sri Lalang, dekat Kluang.

Katanya, setiap anaknya itu sememangnya memerlukan peranti seperti telefon pintar apabila sesi pengajaran dan pembelajaran semasa PKP kini dilaksanakan secara dalam talian.

Umi ditemui ketika lawatan Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong ke kediamannya hari ini semasa program penyampaian sumbangan keperluan harian kepada golongan memerlukan di kawasan parlimen itu.

Sementara itu, masalah yang dihadapi oleh Umi ini mendapat perhatian Wee apabila pihaknya menyumbangkan dua telefon pintar kepada mereka sekeluarga.

Kata Wee yang juga menteri pengangkutan, diharapkan dengan pemberian telefon pintar itu akan dapat memudahkan sesi PdPR anak-anak Umi, dan membolehkan pengusaha kerepek itu menggunakan sepenuhnya telefon bimbit miliknya untuk perniagaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.