- Iklan -
Berita

Jualan sektor pembuatan meningkat walaupun pandemik beri kesan kepada pekerjaan, gaji

Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 3% pada suku keempat tahun lepas kepada RM366.4 bilion.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 3% pada suku keempat tahun lepas kepada RM366.4 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Ini berlaku di sebalik pengurangan pekerja dalam sektor itu termasuk pengurangan gaji, kata statistik dikeluarkan Putrajaya.

Secara keseluruhannya tahun lepas yang menyaksikan kesan besar terhadap perniagaan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19, terdapat penurunan 2.1% dalam nilai jualan sektor pembuatan kepada RM1,346.6 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

Bagaimanapun terdapat trend peningkatan pada Disember apabila jualan sektor pembuatan meningkat kepada RM124.6 bilion, bertumbuh sebanyak 4.5% berbanding tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia yang mengeluarkan data ini berkata, peningkatan ini dipacu oleh peningkatan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.5%), makanan, minuman dan tembakau (7.9%0 dan elektrik dan elektronik (4.2%).

Pada bulan Disember 2020 juga jumlah pekerjaan meningkat sedikit (0.1%), dengan 15.22 juta direkodkan sebagai bekerja.

Bagaimanapun, pada suku keempat 2020 menyaksikan peningkatan dalam jumlah pengganggur daripada 745,000 pada suku sebelumnya ke 772,900.

Sektor seperti perdagangan borong dan runcit, kesihatan dan pekerjaan sosial, komunikasi dan maklumat serta pendidikan menunjukkan trend peningkatan dalam pengambilan pekerja.

Sebanyak 61.2% pekerja adalah lelaki (9.27 juta), manakala 5.98 juta merupakan wanita.

Sementara itu, indeks pengeluaran perindustrian (IPI), yang mengukur output dalam sektor pembuatan, perlombongan dan juga kuasa, meningkat 1.7% pada Disember 2020.

Pertumbuhan itu didorong oleh sektor pembuatan (4.1%), manakala perlombongan dan elektrik masing-masing turun 5.4% dan 0.2%.