- Iklan -
Berita

Rakyat Malaysia dilanda ‘kebimbangan kelesuan’ jika Covid-19 berterusan?

Tinjauan Indeks Kerisauan Nasional mendapati berlaku penurunan ketara mengenai kerisauan pekerjaan dan kos sara hidup berbanding suku ketiga tahun lepas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Satu kaji selidik tentang kebimbangan rakyat Malaysia ketika pandemik Covid-19 global melanda mendapati “kenimbangan mengenai kelesuan” sedang melanda populasi, kata sebuah firma penyelidikan.

Tinjauan Indeks Kerisauan Nasional oleh Emir Research “Pulse from the Ground” melibatkan seramai 2,000 responden dari seluruh negara, mendapati berlaku penurunan ketara mengenai kerisauan pekerjaan, kos sara hidup dan lain-lain isu berkaitan masalah ekonomi, berbanding data yang dikumpul pada suku ketiga 2020.

“Mereka yang tergolong dalam bimbang minimum dan sederhana menunjukkan tanda setuju jauh lebih rendah terhadap cadangan kehidupan lebih baik pada masa depan.

“Ia langsung tidak sama seperti data pada suku ketiga 2020, di mana responden yang dikaji paling optimis tergolong dalam kumpulan bimbang minimum dan majoriti mereka berada dalam kumpulan bimbang sederhana ‘tidak pasti’ mengenai masa depan mereka,” kata Emir Research.

Tinjauan terbaru itu dilakukan pada Disember lalu, sebelum pengisytiharan darurat dilakukan dan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan pada Januari.

Tinjauan itu mengukur reaksi terhadap lapan isu yang terkesan akibat pandemik: pekerjaan, ancaman virus daripada pendatang asing tanpa izin, pendidikan, pendapatan, kesihatan mental, hutang negara dan masa menunggu untuk berjumpa doktor.

Ia merujuk kepada kesan psikologi untuk menafsir penemuan itu, dan disimpulkan muncul apa yang disebut sebagai “kebimbangan kelesuan” disebabkan krisis kesihatan global yang berpanjangan.

“Berada dalam keadaan kebimbangan maksimum yang berpanjangan disebabkan cabaran troika (pandemik, ekonomi dan teka-teki politik) sehingga mencetus kegelisahan dan kemungkinan tiada tempoh rehat daripadanya di masa depan, rakyat negara ini menunjukkan tanda-tanda awal ‘kebimbangan kelesuan’ dan mula merancang strategi untuk mengelak dan mengatasi keadaan itu,” katanya.

Dari segi demografi, tinjauan mendapati penduduk luar bandar kurang bimbang berbanding penduduk di bandar mengenai masalah pekerjaan, kos sara hidup dan keselamatan.

Ia juga mendapati tahap kebimbangan lebih rendah dalam kalangan orang Melayu dan Cina berbanding kaum India.

Sementara itu orang India dan Melayu menunjukkan kerisauan lebih tinggi mengenai kualiti pendidikan dan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh pandemik.

“Respoden kaum Cina turut terus menunjukkan kerisauan jauh lebih rendah berbanding orang Melayu dan Bumiputera terutamanya mengenai ekonomi, pekerjaan dan kos sara hidup,” katanya.

Emir Research menambah, ketiga-tiga kumpulan etnik “secara relatif senada dalam menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.