- Iklan -
Berita

Buku Thomas terima ulasan tidak baik dalam Amazon Kindle

Ia umpama ‘seorang pak cik berceloteh ketika makan malam’ – antara ulasan daripada pelanggan yang mengkritik bekas peguam negara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Buku tulisan Tommy Thomas menerima ulasan rendah satu bintang di dalam kedai buku dalam talian Kindle.
Buku tulisan Tommy Thomas menerima ulasan rendah satu bintang di dalam kedai buku dalam talian Kindle.

Berbeza daripada kata-kata pujian yang diterbit di kulit bukunya baru-baru ini, bekas peguam negara Tommy Thomas dikritik kerana gagal menunjukkan sikap rendah diri dan juga terlalu fokus pada isu-isu remeh, dalam beberapa ulasan kedai buku dalam talian Amerika Syarikat, Amazon.

Versi e-buku Kindle “My Story: Justice in the Wilderness” dimasukkan dalam genre kecil “Biographies of Lawyers & Judges”, sekadar mendapat penilaian satu bintang, berdasarkan ulasan yang bukan sahaja mempersoalkan kandungan buku itu tetapi turut mengatakan ia tidak konsisten, dan ditulis dengan gaya bukan seperti seseorang yang pernah bekerja sebagai pegawai tertinggi di jabatan perundangan.

“Penggunaan ‘AGC’ dan ‘Chambers’ yang tidak konsisten pada saya sangat menjengkelkan. Anda mungkin fikir saya cerewet tetapi saya bekerja di AGC/Chambers selama tujuh tahun dan jika saya menghantar memo dengan menggunakan ‘AGC/Chambers’ secara bergilir-gilir seperti dilakukan bekas peguam negara, saya yakin memo itu akan dikembalikan dalam bentuk abu,” kata satu ulasan.

“Jika pembaca tidak boleh bergantung kepada konsistensi dan semakan tentang perkara-perkara kecil, apa lagi tentang isu besar?”

Pembaca itu kemudian menggambarkan bahasa digunakan Tommy sebagai “terlalu menggunakan bahasa basahan”.

“Secara umum, ia sama seperti melihat seorang pak cik yang paranoia berceloteh ketika makan malam,” kata ulasan itu, dan menambah ia bukan gaya  seorang peguam “yang berkaliber sepertinya sering diingatkan kepada kita dalam bukunya”.

Satu lagi ulasan mengatakan Thomas memulakan penulisan buku itu “dengan mukadimah didorong rasa bangga pada diri sendiri berdasarkan identiti kasta”.

“Ia sangat mengecewakan apabila melihat lelaki seperti Tommy Thomas yang mencapai kejayaan dan tinggi ilmunya menjadi mangsa kepada naluri parokial,” kata pembaca itu.

“Ia juga merupakan pengkhianatan kepada prinsip asas agama Kristian, ‘komunitinya’ yang dipeluk satu ketika dahulu.

Dalam bab pertama buku Thomas menyentuh mengenai kepercayaannya terhadap Krtistian Syria – yang mempunyai kira-kira 3,000 penganut di Malaysia – dengan bangganya memberitahu dilahirkan daripada ibu bapa tergolong dalam komuniti kecil agama itu sebagai satu “rahmat”.

Ia bukan pertama kali Thomas menyuarakan pendirian mengenai agamanya secara terbuka.

Beberapa hari selepas dinamakan sebagai peguam negara pada 2018, beliau menggambarkan pelantikannya sebagai satu “keajaiban” daripada Tuhan.

“Saya dilantik kerana keajaiban Tuhan. Tuhan mengabulkan doa-doa kita,” katanya di dalam satu ucapan di sebuah gereja pada hari Ahad yang dirakam dalam bentuk video.

“Beribu-ribu orang Kristian dan gereja mendoakan saya, jadi ia benar-benar satu keajaiban.”

Pengulas buku itu turut mempersoalkan mengapa Thomas diberikan jawatan peguam negara, dengan berpandangan beliau tidak layak untuk diberi “peluang dan keistimewaan luar biasa” untuk berada di situ yang selama ini menafikan calon bukan Melayu.

Dikatakan terdapat beberapa bab tentang wawasan penulis dalam buku ini, tetapi nada Thomas yang tidak tahu malu merupakan satu masalah.

“Walaupun bab-bab berikutnya kelihatan memberikan pandangan menarik, sedikit rasa rendah diri mungkin akan melembutkan prosa yang digunakan,” tambahnya.