- Iklan -
Berita

Mahkamah diberitahu Najib terima RM2.973 bilion daripada 1MDB

Wang itu dipindahkan ke akaun Najib tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak menerima sejumlah wang yang besar RM2.973 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaunnya tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam hujahnya berkata perkara itu didedahkan oleh pegawai penyiasat pengubahan wang haram Supt Foo Wei Min bahawa perpindahan wang dari 1MDB ke Akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat dan ACP D Rajagopal mengenal pasti peringkat pertama dan kedua.

“Jejak wang terperinci yang dijalankan ke atas akaun Najib mendapati pergerakan wang dari Good Star melibatkan AS$120 juta (RM369,029,514) dalam lima transaksi antara 2011 dan 2012, peringkat (kedua) Aabar sebanyak AS$170 juta  (RM523,389,779.96)  melalui enam transaksi antara  2011 dan 2012  dan peringkat (ketiga) Tanore melibatkan AS$681 juta (RM2,081,476,926) dipindahkan melalui dua transaksi pada 2013.

“Menerapkan kaedah penilaian kewangan ‘masuk dahulu, keluar dahulu’ pada akaun Ambank Najib. Jejak wang itu menunjukkan sejumlah RM2,973,896,219.96 yang diterima Najib dalam akaun 9694, dikembalikan ke akaun Tanore sebanyak RM2,034,350,000.

Wang baki RM939,546,219.96 dalam akaun 9694 Najib dipindahkan untuk dibelanjakan oleh bekas PM dalam empat kategori yang besar,” katanya pada pendengaran permohonan pendakwaan bagi pelucuthakan RM114,164,393.44 dan barangan kemas yang dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd yang didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucutkan barangan tersebut termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1MDB.

Najib dan Umno adalah pihak ketiga dalam permohonan itu.

Saifuddin berkata dalam kes Umno, tuntutan mereka mengenai wang tunai yang dirampas adalah derma politik, jelas tidak masuk akal kerana bagi seseorang yang telah menafikan mempunyai pengetahuan atau kaitan dengan wang itu, kini mengemukakan tuntutan sebagai pemilik sebenar.

“Tuntutan yang dikemukakan oleh Najib dan Umno bahawa wang tunai yang dirampas adalah sumbangan politik merupakan alasan yang lemah berbanding bukti yang menunjukkan sebaliknya. Tidak ada apa pun yang dapat dilakukan untuk menutup kesalahan daripada wang tunai yang dirampas,” katanya.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib manakala peguam Hariharan Tara Singh mewakili Umno.

Mahkamah menangguhkan kes itu pada 11 dan 15 Mac untuk mendengar penghujahan Shafee dan Hariharan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.