- Iklan -
Berita

Pekerja pembersihan warga Malaysia diradikalkan IS dihantar pulang, isteri diberikan kaunseling

Walaupun penyiasatan tidak dapat menemui bukti dia merancang untuk melakukan sebarang serangan domestik, dia secara aktif memuat naik bahan-bahan yang menyokong Isis.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 33, merancang untuk ke Syria dengan isterinya, Ruqayyah Ramli, 34, suri rumah yang bekerja sambilan sebagai guru agama. Gambar: AP
Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 33, merancang untuk ke Syria dengan isterinya, Ruqayyah Ramli, 34, suri rumah yang bekerja sambilan sebagai guru agama. Gambar: AP

Singapura mengatakan sudah menghantar pulang rakyat Malaysia yang merancang untuk menyertai kumpulan pengganas IS di Syria, selepas ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Julai tahun lepas.

Pendedahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura itu dilakukan dua minggu selepas pihak berkuasa mengumumkan menahan seorang remaja yang merancang untuk membunuh umat Islam di dua masjid di negara itu, seperti yang berlaku dalam pembunuhan Christchurch dua tahun lalu.

ISD berkata hari ini Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 33, merancang untuk ke Syria dengan isterinya, Ruqayyah Ramli, 34, suri rumah yang bekerja sambilan sebagai guru agama.

Walaupun penyiasatan tidak dapat menemui bukti dia merancang untuk melakukan sebarang serangan domestik, ISD mendapati Firdaus menganggap ketua IS Abu Bakr al-Baghdadi, yang dipercayai meletupkan dirinya pada 2019 sebagai “pemimpin Islam sebenar”.

“Dia secara aktif memuat naik bahan-bahan yang menyokong Isis dan jihad bersenjata ke akaun-akaun media sosialnya. Ketaksuban Firdaus terhadap Isis begitu tinggi sehinggakan dia menggantung bendera kumpulan itu di rumahnya pada Mac tahun lalu sebagai tanda taat setianya kepada kumpulan tersebut,” kata ISD merujuk kepada kumpulan pengganas IS.

Katanya Firdaus juga “sanggup mati di medan pertempuran untuk mendapat ganjaran syahid”.

“Dia bersedia melancarkan serangan ke atas negara-negara yang dianggapnya menzalimi Muslim, atau yang dianggapnya sebagai munafik kerana menyokong negara-negara Barat”.

Pihak berkuasa Singapura berkata, mereka bekerja secara rapat dengan Polis Cawangan Khas Malaysia ketika menyiasat Firdaus. Dia dihantar pulang ke Malaysia pada Ogos 2020.

ISD berkata, isteri Firdaus, Ruqayyah dipengaruhi suaminya, dan dikenakan  Arahan Sekatan (RO) selama dua tahun di bawah ISA.

“Meskipun pada awalnya mempunyai keraguan, Ruqayyah kemudian semakin terpengaruh dengan ideologi Isis yang menyifatkan keganasan terhadap apa yang disifatkan oleh kumpulan itu sebagai penindasan ke atas Islam, termasuk dari bukan Islam atau Syah adalah sesuatu yang wajar.

“Ruqayyah juga menyokong hasrat Firdaus untuk menganggotai Isis dan berjuang di Syria. Dia sanggup menemani suaminya dan membawa kedua-dua anak mereka sekali,” kata kenyataan dikeluarkan ISD.

ISD berkata, pihak berkuasa menarik kembali pengiktirafan terhadap Ruqayyah sebagai guru agama dan diberikan khidmat kaunseling “untuk menjauhkannya daripada fahaman radikal”.