- Iklan -
Berita

Putrajaya sasarkan pelabur berkualiti tinggi selepas penurunan FDI global

Lebih kurang 240 projek berprofil tinggi lebih RM80 bilion dengan separuh daripadanya akan dilaksanakan tahun hadapan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pembuat kereta Jerman Porsche merancang untuk mendirikan kilang pemasangannya di Malaysia. Gambar: AP
Pembuat kereta Jerman Porsche merancang untuk mendirikan kilang pemasangannya di Malaysia. Gambar: AP

Pelaburan langsung asing (FDI) menurun disebabkan kesan pandemik Covid-19 terhadap aliran tunai global.

Dengan hanya sedikit peluang boleh diakses dan diperolehi serta risiko bersamanya, pelabur kini lebih berhati-hati.

Satu laporan terbaru oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) yang sering dipetik mengatakan aliran FDI global berkemungkinan menurun sebanyak 40% pada 2020-2021, terendah dalam tempoh lebih 20 tahun.

Laporan itu menyatakan perjanjian pelaburan antarabangsa (IIA) turut akan terkesan.

Ia melibatkan perjalanan dan mesyuarat bersemuka antara pegawai tertinggi kerajaan, penganjuran mesyuarat perundingan domestik serta beberapa langkah prosedur lain, yang kebanyakannya dibatalkan atau ditunda disebabkan pandemik Covid-19.

Sejak beberapa dekad, Malaysia berjaya menarik sebahagian besar FDI di seluruh dunia, dan daripadanya merupakan negara-negara yang terjejas teruk pelaburannya berikutan Covid-19.

Namun, landskap FDI yang mencabar dan sangat kompetitif, mendorong kerajaan untuk mengambil langkah-langkah bagi mempercepatkan pelaburan menuju proses pemulihan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), agensi utama yang ditugaskan untuk menguruskan FDI mengenal pasti 240 projek pelaburan berprofil tinggi di dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, dengan potensi pelaburan dianggarkan bernilai RM81.9 bilion.

Kira-kira separuh – RM47.7 billion – diterima dan dinilai setakat ini, dan apabila diluluskan, ia dijangka dilaksanakan antara tahun 2021 hingga 2022.

Masalah lama yang berlanjutan sejak beberapa tahun menyebabkan Malaysia dilabel sebagai bukan pilihan pelaburan asing dalam kalangan negara-negara Asean.

Namun, inisiatif kerajaan memberi petunjuk bahawa ia serius untuk mengubah trend itu.

Tetapi ia bukan mudah. Kelemahan pentadbiran sejak berdekad lalu bermaksud tugas besar menanti, termasuk mengurangkan kerenah birokrasi dan kos, dan kekangan masa serta memudahkan kelulusan pelaburan.

MalaysiaNow difahamkan satu strategi pelaburan kebangsaan sedang disusun Mida, dengan tujuan utama untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, mempromosi pemindahan teknologi serta memupuk hubungan domestik.

Inisiatif itu termasuk penubuhan penubuhan Project Acceleration and Coordination Unit (Pacu) dan platform dalam talian seperti i-Incentive bagi mempercepatkan pelaksanaan pelaburan.

Salah satu contoh adalah pembuat kereta mewah Jerman, Porsche yang kini sedang membina kilang pemasangannya dengan kerjasama cabang automotif Sime Darby Bhd iaitu Inokom Corporation.

Syarikat-syarikat besar lain yang turut melabur di Malaysia sebagai hub serantau mereka termasuk Smith and Nephew dari United Kingdom, Dexcom, LAM Research, MusicTribe, Western Digital (Amerika Syarikat); B.Braun, Eppondort, Bosch (Jerman), dan Nippon Electric Glass (Jepun).

Mereka yang terlibat secara langsung dalam menarik pelaburan menyedari penawaran insentif dan kemudahan fizikal pada kadar diskaun mungkin bukan lagi titik jualan buat pelabur asing.

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana, beberapa insentif cukai bagi memacu aktiviti pelaburan ditawarkan termasuk pengecualian cukai 10-15 tahun untuk FDI baru dalam sektor pembuatan dengan modal pelaburan RM300 juta atau lebih.

Pelabur berkualiti

Ahli ekonomi Lee Hwok Aun mengatakan wujud beberapa cabaran utama bagi menarik pelabur berkualiti, yang mungkin memerlukan perancangan jangka panjang.

Ia termasuk latihan kemahiran dan meningkatkan sistem pendidikan negara, sebagai persiapan tenaga kerja masa depan.

“Dalam masa dekat, fokus boleh diberikan kepada sektor berpontensi menjana pertumbuhan atau eksport dan membawa masuk teknologi, seperti teknologi hijau dan tenaga solar,” katanya.

Salah satu contoh pelabur seperti itu adalah SK Nexilis, syarikat pengeluar utama sel bateri daripada kerajang tembaga untuk kegunaan kenderaan elektrik (EV).

Ia merancang untuk melabur sehingga RM2.3 bilion dalam tempoh dua tahun di Sabah, di mana kilang tersebut akan menggunakan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui dan penggunaan teknologi robotik yang dibawa masuk dari Korea Selatan.

Memudahkan perniagaan

Menurut World Bank Doing Business Report 2020, walaupun laporan UNCTAD melaporkan penurunan aliran masuk FDI ke Malaysia, Malaysia menduduki tangga kedua dari segi kemudahan menjalankan perniagaan di rantau Asean (tempat ke-12 di dunia) termasuk perlindungan pelabur.

Malaysia turut berada di tangga keempat dalam kalangan 17 ekonomi dalam satu kajian bersama AS mengenai kos operasi pengeluaran di seluruh dunia oleh KPMG and the Manufacturing Institute.

Kajian itu mengesahkan sasaran Malaysia untuk menjadi hab rantaian bekalan global di rantau ini.

Malah firma MNC turut menggunakan Malaysia sebagai hab perkhidmatan pengurusan perbendaharaan dengan pelbagai akvititi berkaitan.

Ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram, penasihat Khazanah Research Institute, sebuah firma penyelidikan yang menerima suntikan dana Khazanah Nasional ditugaskan untuk mengesyorkan dasar, merupakan antara pakar yang menentang menjadikan FDI sebagai barometer.

Sejak 2019 ketika beliau menjadi penasihat ekonomi kerajaan, Jomo mendesak supaya penumpuan diberikan kepada pelaburan domestik kerana kebanyakan pelabur datang daripada sektor itu.

“Lebih daripada 90%. Untuk berfikir pelabur asing seperti mereka adalah penyelamat…tidak sepatutnya,” katanya seperti dilaporkan oleh Malay Mail.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.