- Iklan -
Berita

Walaupun dilancarkan semula, keselamatan data aplikasi SELangkah diragui

Versi terbaru aplikasi itu tidak menawarkan banyak fungsi yang memfokuskan untuk mengesan jangkitan, berbanding MySejahtera.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memperkenalkan aplikasi SELangkah yang 'baru dan dipertingkatkan', tetapi semakan terhadap versi terbaru aplikasi itu mendapati ia tidak menawarkan banyak fungsi, berbanding MySejahtera.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memperkenalkan aplikasi SELangkah yang 'baru dan dipertingkatkan', tetapi semakan terhadap versi terbaru aplikasi itu mendapati ia tidak menawarkan banyak fungsi, berbanding MySejahtera.

Versi kemas kini aplikasi SELangkah yang dilancarkan kerajaan Selangor baru-baru ini bukan sahaja membangkitkan lebih banyak persoalan berhubung kualiti perisian pengesanan kontak untuk memantau jangkitan Covid-19, tetapi menimbulkan kebimbangan berhubung keselamatan data.

Semakan MalaysiaNow mendapati versi terbaru aplikasi itu tidak menawarkan banyak fungsi yang memfokuskan untuk mengesan jangkitan, berbanding MySejahtera yang diperakukan oleh pihak berkuasa kesihatan persekutuan.

Walaupun begitu, kerajaan negeri Selangor tetap berkeras meneruskan penggunaan aplikasi itu bersama-sama dengan MySejahtera.

Salah satu fungsi tambahan merangkumi log masuk untuk pengguna, sesuatu yang MySejahtera sudah laksanakan.

Bagaimanapun, aplikasi SELangkah tidak mewajibkan untuk memasukkan nombor kad pengenalan seseorang, tetapi hanya perlu mengisi nama, nombor telefon dan kata laluan.

Satu lagi ciri baru membenarkan pengguna mengimbas kod QR MySejahtera, walaupun ia tidak akan mengemas kini data di akaun MySejahtera pengguna.

Aplikasi itu juga masih mempunyai masalah dengan “bug” walaupun dilancarkan semula baru-baru ini, menurut semakan pasukan IT MalaysiaNow.

Sebagai contoh, menyentuh pada fungsi butang “Screening” akan menghasilkan kod pelik.

Peta yang memaparkan lokasi jangkitan juga tidak terperinci seperti MySejahtera, yang tidak menunjukkan jumlah kes.

Ketika dilancarkan, hanya versi untuk Android sahaja tersedia untuk dimuat turun daripada Google Play.

Masalah yang tidak dapat diselesaikan pada aplikasi ini dipercayai menjadi sebab pihak pembangun tidak dapat menyediakan versi iOS.

MalaysiaNow menghubungi Dr Helmi Zakariah, yang sebelum ini pernah melepaskan kemarahan kepada MalaysiaNow mengenai masalah yang ditemui di dalam aplikasi dibangunkan beliau, tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan.



Privasi data

Sementara itu, semakan juga mendedahkan berlaku kecacatan serius dari segi privasi data pengguna SELangkah.

Meskipun ketua petugas pasukan khas Covid-19 Selangor Dzulkefly Ahmad tampil mempertahankan aplikasi itu sebagai reaksi balas kepada pendedahan MalaysiaNow bahawa ia tidak setanding MySejahtera, dan turut bertindak mempersoalkan privasi data kerajaan persekutuan, pembacaan teliti terhadap terma dan syarat SELangkah mendapati berlaku konflik tuntutan mengenai privasi data.

Di dalam laman sesawangnya, pembangun aplikasi itu Selangkah Ventures Sdn Bhd menafikan data peribadi pengguna akan digunakan bagi tujuan komersial, dengan mengatakan ia hanya membenarkan pasukan petugas khas Covid-19 negeri dan pihak kesihatan negeri “untuk memaklumkan anda secara terus jika anda merupakan kontak dengan individu yang dijangkiti Covid-19 di premis perniagaan sama yang dilawati”.

Bagaimanapun, terma dalam penyata privasinya baik di Google Playstore dan laman sesawang SELangkah menyatakan data peribadi yang dikumpul daripada pengguna akan digunakan untuk menjawab pertanyaan orang ramai berkaitan peluang pekerjaan dan lain-lain permintaan, termasuk juga menghantar bahan promosi berkaitan perkhidmatan syarikat dan lain-lain tujuan pemasaran dengan persetujuan pengguna.

Klausa lain mengatakan aplikasi itu mampu mengesan aktiviti dalam talian pengguna termasuk halaman laman sesawang yang dilawati.

“Kami mungkin mengumpul maklumat mengenai aktiviti dalam talian anda dari masa ke masa dan termasuk laman sesawang pihak ketiga. Maklumat tersebut mungkin akan digunakan untuk memaparkan pengiklanan kepada anda mengenai produk dan perkhidmatan bersesuaian dengan minat anda atau memberikan kepada anda produk dan perkhidmatan yang dipertingkatkan,” menurut terma bertarikh 19 Januari 2021 itu.

Ia turut mengatakan pihak syarikat boleh memindahkan data peribadi pengguna kepada pihak ketiga sekiranya mungkin berlaku atau penjualan sebenar atau pemindahan semua atau sebahagian daripada perniagaan atau aset, atau traksaksi perniagaan lain.

Pendedahan ini berkemungkinan bakal mencetuskan perdebatan mengenai alasan sebenar pihak kerajaan negeri Selangor berkeras mengenai pengunaan SELangkah, walaupun MySejahtera didapati lebih berkemampuan dalam penafsiran data dan jaminan keselamatan tambahan kepada pengguna.

Satu sumber yang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 memberitahu MalaysiaNow, aplikasi pengesanan kontak tidak sepatutnya mengkomersialkan data yang dikumpul daripada pengguna.

Dia turut mempersoalkan apa yang disebut sebagai fungsi e-dagang yang akan dilancarkan oleh SELangkah, termasuk membolehkan penggunaan e-dompet untuk transaksi perniagaan kecil dan mikro.

“Mereka tidak boleh ada aplikasi pengesanan kontak dan e-dagang dalam satu aplikasi yang sama,” katanya, dan menambah akan wujud risiko melibatkan fungsi sedemikian.

“Apa jua imbasan yang dilakukan mereka dan maklumat peribadi yang disalurkan melalui kos QR SELangkah boleh digunakan bagi tujuan komersial.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.