- Iklan -
Berita

Makan besar Tahun Baru Cina sewaktu PKP, satu cabaran besar buat restoran

Dengan hanya dua pelanggan dibenarkan di satu meja, restoran terpaksa bertindak kreatif bagi memastikan komponen penting sambutan Tahun Baru Cina itu meriah.

Siva Selan and Yee Hans Ng
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja restoran makanan laut di Kota Kemuning, Selangor menulis menu yang disediakan untuk penghantaran.
Seorang pekerja restoran makanan laut di Kota Kemuning, Selangor menulis menu yang disediakan untuk penghantaran.

Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, restoran-restoran pastinya sibuk seperti biasa – namun, pada tahun ini, mereka tidak lagi menyusun meja-meja bagi memenuhi ruang restoran, membersih dan menghias atau mengupah pekerja sambilan bagi melayani kebanjiran pelanggan.

Walaupun kerajaan sudah membenarkan dua pelanggan di satu meja, mereka tidak mengharapkan ramai yang akan datang.

Tahun ini, tauke-tauke restoran terpaksa memerah otak memikirkan bagaimana hendak menangani masalah yang belum pernah dialami sebelum ini, iaitu bagaimana melayani pelanggan yang akan makan besar di rumah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengenakan sekatan ketat terhadap hampir semua aktiviti sosial.

Makan besar keluarga merupakan acara penting yang menjadi sebahagian tradisi Tahun Baru Cina, tetapi ia juga menjadi salah satu sumber pendapatan utama restoran yang secara kebiasaannya akan ditempah lebih awal sebelum hari sambutan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada sebilangan restoran terpaksa mengenakan sistem syif bagi membolehkan mereka menampung jumlah pelanggan yang ramai hadir menikmati makan malam bersama ahli keluarga masing-masing.

Semua itu kini lenyap disebabkan Covid-19.

Pelaksanaan semula PKP yang bermula 13 Januari lalu di hampir seluruh negara, pada awalnya menghadkan operasi perniagaan makanan kepada perkhidmatan bungkus dan penghantaran sahaja.

Bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan melonggarkan sekatan dengan hanya membenarkan dua orang di setiap meja untuk makan di restoran.

Disebabkan makan besar melibatkan sejumlah orang yang ramai, sesiapa yang ingin makan bersama keluarga masih perlu makan di rumah.

Pengurus sebuah restoran makanan laut menulis pesanan yang dilakukan pelanggan secara dalam talian.

Keadaan itu memaksa pemilik restoran terpaksa memikirkan kembali strategi pemasaran sedia ada dan perlu mewujudkan pelan baru bagaimana untuk mempromosikan menu mereka dengan berjaya dan pada masa sama memastikan perniagaan terus kekal beroperasi sepanjang musim perayaan.

Vincent, seorang pekerja di sebuah restoran di Damansara Jaya, memberitahu MalaysiaNow ada beberapa pelanggan membuat tempahan makan besar keluarga seawal tahun lepas lagi.

“Kami menghubungi pelanggan-pelanggan ini untuk bertanyakan sama ada mereka ingin menunda tempahan makan malam mereka selepas Tahun Baru Cina atau hadir mengambil sebagai pesanan bungkus.

“Itu sahaja yang kami mampu lakukan pada ketika ini,” katanya.

Stelle yang menguruskan sebuah restoran lain di Kota Damansara mengatakan dia bersyukur kerana tidak ada seorangpun pelanggannya membatalkan tempahan walaupun PKP dilanjutkan.

“Sehingga ke hari ini belum ada yang membatalkan tempahan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya mungkin disebabkan alasan orang tidak mahu bersusah payah memasak di rumah, atau memilih untuk memesan dan menikmati makanan dengan selesa di rumah.

Restoran itu juga turut menghantar promosi Tahun Baru Cina kepada para pelanggan yang dilihat berjaya menambah bilangan pesanan.

Manakala bagi Wong Wenshi, seorang pengusaha restoran di Shah Alam, strategi yang digunakan adalah dengan melakukan sedikit perubahan pada harga sempena Tahun Baru Cina supaya menjadi lebih fleksibel.

“Ada pelbagai jenis menu khas disediakan untuk pelanggan yang berbeza-beza, bagi memastikan kami mampu bertahan di masa sukar ini,” katanya.

Sebagai contoh, restoran ini ada menyediakan set kombo dan menu festival bagi keluarga kecil dan sederhana, termasuk juga set bujang yang disediakan khas untuk kakitangan korporat dan mereka yang bekerja dari rumah.

Promosi masakan istimewa ketam dan ikan restoran ini turut membantu menarik pelanggan.

Disebabkan sekatan yang dikenakan di bawah PKP, menu-menu ditawarkan pada harga promosi bagi membolehkan pelanggan menikmati sajian Tahun Baru Cina meskipun dalam keadaan sukar.

Menu makanan pesanan bungkus yang disediakan di restoran Wong Wenshi yang lengkap dengan pinggan dan kutleri.

Seorang lagi pemilik restoran di Shah Alam mengatakan, dia juga kini memberi tumpuan kepada set makan malam lebih kecil.

“Kami cuba ubah menu yang ada kepada set lebih ringkas supaya mudah bagi pelanggan untuk bawa balik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ia juga lebih mudah buat pelanggan untuk membuat pesanan dan menikmati makanan dengan keluarga tanpa perlu mengeluarkan belanja besar dan mahal untuk set makan malam, tambahnya.

Buat masa ini, pilihan utama untuk bawa pulang dan penghantaran adalah melalui perkhidmatan GrabFood dan FoodPanda.

Tetapi bagi sesetengahnya seperti Wong, pelan tambahan turut disediakan.

“Kami menawarkan penghantaran ke depan pintu rumah dalam jarak 5km dari restoran untuk nilai pesanan minimum,” katanya.

“Pelanggan juga boleh atur untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran melalui panggilan telefon dan aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Messenger.”

Satu perkara sebelum menghantar makanan kepada pelanggan – penyediaan dan persembahan adalah sama sekali berbeza.

“Kami cuba memikirkan beberapa idea untuk menambah baik dengan meletakkan diri sebagai pelanggan, supaya kami dapat memberikan pengalaman makan malam sebenar seperti yang diminta,” kata Wong.

Sebagai contoh, ikan stim dihantar menggunakan pinggan yang sama digunakan di restoran, dibekalkan bersama dapur gas mudah alih supaya pelanggan dapat menikmati pengalaman seperti mereka makan di restoran.

Memberi layanan pelanggan terbaik sepanjang PKP Tahun Baru Cina menjadi satu cabaran, tetapi mereka sanggup menyahutnya.