- Iklan -
Berita

Pengeluar sarung tangan Malaysia dikecam lagi dalam laporan BBC

Laporan BBC News mendakwa dunia sebilangan pekerja hanya sebatas premis kilang, namun Top Glove nafi dakwaan tersebut.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar dirakam pada 26 Ogos 2020, menunjukkan seorang pekerja kilang Top Glove sedang memeriksa sarung tangan keluaran syarikat itu.Gambar: AFP
Gambar dirakam pada 26 Ogos 2020, menunjukkan seorang pekerja kilang Top Glove sedang memeriksa sarung tangan keluaran syarikat itu.Gambar: AFP

Industri pembuatan sarung tangan Malaysia yang memperoleh keuntungan lumayan berikutan lonjakan permintaan dunia sekali lagi menerima kecaman apabila laporan BBC World Service mendakwa pekerja asing di kilangnya terpaksa bekerja selama berjam-jam dan dicegah meninggalkan premis kilang.

Laporan terbaru itu mendakwa sebilangan pekerja asing tidak pernah melihat kawasan luar dari premis kilang di Malaysia kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari kompaun kilang.

“Ketika saya berada di luar kilang, saya melihat polis meronda dan mengawasi pekerja-pekerja dan apa yang mereka lakukan di luar kilang.

“Banyak peraturan yang perlu dipatuhi, anda tak boleh buat ini, tak boleh buat itu. Kami sentiasa tertekan,” laporan itu memetik salah seorang pekerja Top Glove dari Bangladesh, syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.

Top Glove, sebaliknya, dalam respons terhadap laporan tersebut berkata sekatan pergerakan dibuat selari dengan perintah kawalan pergerakan Covid-19 yang diumum pihak berkuasa selain bagi menghalang pekerja melawat ke bandar tanpa perlindungan.

Laporan terbaru itu termasuk dalam siri pendedahan memalukan terhadap kebajikan pekerja asing.

Top Glove merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, antara syarikat yang menyaksikan keuntungan berlipat ganda sehingga mencecah bilion ringgit sepanjang pandemik Covid-19.

Keuntungan Top Glove melonjak sebanyak RM2.38 bilion dalam suku akhir tahunannya pada November. Ia meningkat dari jumlah keuntungan RM111 juta dalam tempoh yang sama pada 2019.

Ini di sebalik RM4.76 bilion pendapatan Top Glove.

Ia sekali lagi menjadi bahan berita akhir tahun lepas selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di negara ini melibatkan beribu-ribu pekerja kilang Top Glove.

Laporan terbaru BBC News turut memetik pekerja daripada syarikat Supermax, sebuah lagi gergasi pengeluar sarung tangan.

Bercakap menggunakan jurubahasa, salah seorang daripada pekerja mengatakan mereka bekerja 29 hari dalam sebulan selama 12 jam sehari di salah sebuah kilang syarikat itu.

Laporan itu turut menjelaskan bagaimana pekerja turut dilarang meninggalkan premis syarikat yang turut meletakkan asrama pekerja.

“Mereka beritahu bahawa sangat sukar untuk bangun pada pagi hari. Semua pekerja yang saya temui memberitahu kehidupan mereka seperti dalam penjara,” kata wartawan BBC Nepal, Gani Ansari.

“Mereka juga tidak boleh keluar dari premis syarikat sejak Januari 2020.”

Ketika diminta memberikan respons berhubung isu berkenaan, Supermax berkata mereka hanya akan “matikan syarikat” jika menganiaya pekerja dan dikenakan tindakan okeh kerajaan Malaysia.

Syarikat itu turut menambah waktu kerja tambahan yang dikenakan turut mendapat pampasan dari syarikat.

BBC turut diberitahu seorang pekerja bahawa pandemik Covid-19 turut menjadi punca kilang itu menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

“Kerana wabak yang menular ketika ini, ramai orang tidak datang bekerja, jadi kami terpaksa buat dua kerja. Kerja kini dah jadi semakin berat,” kata seorang pekerja.

Laporan itu memetik sebuah video daripada premis Top Glove yang menunjukkan rakaman asrama dan kantin pekerja yang sesak, ia menyatakan sebuah bilik menempatkan 30 orang pekerja dalam satu masa, pekerja turut dilihat hanya berbaring di atas cadar nipis.

Dakwaan terhadap Top Glove tersebut bukan perkara baru, syarikat itu berulang kali menafikan tuduhan mengamalkan perhambaan moden sehingga menyebabkan beberapa negara melarang produknya di pasaran mereka.

Pada 2019, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) melarang import sarung tangan getah Top Glove berikutan dakwaan tersebut terhadap pekerja asing di kilangnya.

Pada tahun sama, Kementerian Dalam Negeri Britain berkata siasatannya yang dilakukan pihak mereka menemui bukti kukuh bahawa pengeluar sarung tangan Malaysia itu menggunakan buruh kerja paksa.

Aktivis sektor kesihatan Britain baru-baru ini mendakwa kerajaan Britain mendapat bekalan sarung tangan getah Top Glove melalui sebuah syarikat lain yang berpusat di London.

“Kita secara terus membiaya perhambaan moden ini dengan menggunakan wang pembayar cukai di UK,” kata Dr Mahmood Bhutta, pengasas bersama Medical Fair and Ethical Trade Group di British Medical Association, dalam laporan tersebut.

Salah satu indikator wujudnya amalan perhambaan moden adalah gaji pekerja digunakan untuk membayar beberapa yuran yang dikenakan bagi mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu laporan yang turut memetik Nish, seorang pekerja Bangladesh, yang mengatakan dia harus membayar ejen sekurang-kurangnya RM19,000 (400,000 takas) – lebih daripada 10 kali ganda gaji bulanannya – bagi membolehkan dia bekerja di kilang itu.

Nish turut berkata, kerja pembuatan sarung tangan tidak begitu kemas kerana keadaan mesin yang mereka guna di kilang syarikat itu.

“Pernah rakan saya yang bekerja dengan tali sawat tiba-tiba terputus. Ketika membaikinya, mesin itu terpotong salah satu tangannya, ”katanya.

Dalam respons lain, Top Glove menafikan tuduhan mengamalkan perhambaan moden itu.

Syarikat itu memberitahu BBC “audit dalaman” mengeluarkan syarikatnya daripada senarai 11 indikator buruh paksa, kecuali satu, iaitu berhubung tempat penginapan pekerjanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.