- Iklan -
Berita

Terkurung lama, masalah kewangan punca masalah mental meningkat

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terkini, tiga daripada setiap 10 dewasa berusia 16 tahun ke atas akan menderita masalah kesihatan mental.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Pakar kaunseling mengatakan terdapat perkahwinan berakhir dengan perceraian selepas lama terkurung dan dibebani masalah kewangan. Gambar: Pexels
Pakar kaunseling mengatakan terdapat perkahwinan berakhir dengan perceraian selepas lama terkurung dan dibebani masalah kewangan. Gambar: Pexels

Masalah mental melanda ramai orang kerana perubahan rutin lebih setahun disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), dengan pakar kaunseling mengatakan terdapat perkahwinan berakhir dengan perceraian selepas lama terkurung dan dibebani masalah kewangan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terkini, tiga daripada setiap 10 dewasa berusia 16 tahun ke atas akan menderita masalah kesihatan mental.

Pakar kaunseling Nur Liyana Abdullah yang turut berkhidmat dengan Talian Kasih disediakan kerajaan berkata, perubahan rutin harian selama lebih setahun secara tidak langsung mempengaruhi tahap emosi individu.

“Pada kebiasaan mereka akan menghabiskan masa di luar seperti makan bersama rakan-rakan, berjumpa kenalan di pejabat, menonton wayang atau sekadar bersiar-siar di luar bagi mengurangkan tekanan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Berbeza sekarang apabila 24 jam masa dihabiskan di rumah dan itu secara tidak langsung menghadkan mereka untuk melakukan perkara yang digemari bagi demi meluahkan emosi mereka.”

Nur Liyana Abdullah

Liyana berkata, banyak panggilan diterimanya melalui Talian Kasih melibatkan tekanan perasaan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, terdapat juga pasangan yang bercerai kerana tidak tahan asyik duduk di rumah disebabkan PKP selain terhimpit dengan masalah kewangan.

Menurut Liyana, situasi ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka mengalami kemurungan, keresahan atau lebih buruk apabila berlakunya gangguan jiwa.

“Ada pasangan yang isterinya sudah tidak tahan apabila asyik bergaduh dengan suami termasuk tekanan diberhentikan kerja dan memikirkan solusi untuk menjana pendapatan bagi menampung kos sara hidup.

“Disebabkan masing-masing berada dalam keadaan tertekan, pasangan ini akan melempiaskan marah mereka dengan menjadikan anak-anak sebagai mangsa,” katanya.

Talian Kasih yang dibangunkan kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menerima aduan berkenaan dengan keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak.

Dilaporkan terdapat peningkatan panggilan diterima Talian Kasih beberapa minggu selepas PKP kali pertama dilaksanakan pada Mac tahun lepas.

Firdaus Abdul Gani

Pakar Perunding Psikiatri Dr Firdaus Abdul Gani berpendapat masyarakat masih kurang terbuka membincangkan masalah melibatkan penyakit termasuk menjadi antara perkara taboo untuk dibahas.

Katanya, tindakan menyamakan penyakit mental dengan kurang waras juga adalah salah satu salah faham kerana masih terdapat pelbagai jenis penyakit mental lain seperti kemurungan dan keresahan.

“Masyarakat perlu sedar bahawa penyakit mental juga adalah sama seperti penyakit fizikal yang lain. Mereka juga perlu tahu bahawa ianya boleh dirawat serta berpotensi untuk sembuh dengan rawatan yang bersesuaian.

“Ada yang menganggap pesakit mental berbahaya disebabkan berita mengenai pesakit mental yang sering disensasikan secara tidak tepat menyebabkan berlakunya pandangan negatif.

“Keadaan seperti ini boleh menyebabkan pesakit enggan atau lambat mendapatkan rawatan,” katanya yang juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA).

Firdaus juga berpendapat pesakit dapat dibantu sekiranya masyarakat memiliki pengetahuan tentang pesakit mental di samping membantu mengenal pasti, mengurus dan mencegah penyakit mental dalam kalangan masyarakat.

“Pesakit yang mengalami gangguan emosi, halusinasi atau delusi berkemungkinan bertindak di luar batasan sekiranya tidak dirawat”.