- Iklan -
Berita

Masih ramai sukar berbahasa Inggeris walaupun lebih sedekad belajar di sekolah

Sekolah lebih menekankan penulisan berbanding bertutur, dengan sedikit peluang diberikan kepada murid menggunakan bahasa Inggeris dalam konteks kehidupan sebenar.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi

Sistem persekolahan di negara ini mungkin mampu melahirkan murid yang boleh menulis dalam bahasa Inggeris, akan tetapi bertutur dalam bahasa itu merupakan isu yang berbeza, kata para pendidik berhubung kebimbangan terhadap penguasaannya dalam kalangan graduan baru.

Murid yang mengikuti 11 tahun pembelajaran di sekolah rendah dan menengah menghabiskan lebih dari satu dekad untuk belajar bahasa Inggeris, namun masih gagal berkomunikasi dengan lancar di luar kawasan bilik darjah.

Saradha, seorang guru bahasa Inggeris, mengatakan ia mungkin ada kaitan dengan pendekatan pengajaran dan pembelanjaran yang digunakan di sekolah-sekolah yang lebih menekan penulisan berbanding pertuturan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia mengatakan kebanyakan guru lebih menekankan kemahiran penulisan karangan sebagai persiapan murid untuk menduduki peperiksaan yang mengutamakan format dan pemberian markah.

“Mereka tidak diberi banyak ruang untuk berkomunikasi di dalam kelas,” katanya.

“Walaupun mereka diberi kesempatan, murid enggan bercakap disebabkan kurang keyakinan diri.”

Ahmad Taufik Hidayah Abdullah, seorang pensyarah universiti yang mengajar bahasa Inggeris perniagaan dan pengucapan awam selama lebih 20 tahun, bersetuju dengan pandangan itu.

Katanya, banyak kajian dilakukan mengenai ketidakupayaan berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeri melibatkan murid sekolah menengah dan graduan universiti.

Keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi peluang untuk memperoleh pekerjaan kerana ketidakupayaan berkomunikasi dengan penemuduga mereka.

“Ia mungkin disebabkan kurangnya sokongan daripada keluarga, persekitaran yang tidak kondusif, para pengajar sendiri tidak mahir dalam penggunaan bahasa, atau mereka menghadkan pelajar untuk bertutur di dalam kelas,” kata Taufik.

“Walaupun mereka diberi kesempatan, murid enggan bercakap disebabkan kurang keyakinan diri.”

Saradha, yang mempunyai pengalaman mengajar selama 25 tahun, mengatakan rakyat Malaysia berat mulut untuk menggunakan bahasa Inggeris walaupun ia digunakan secara meluas di dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.

Katanya minat dan motivasi terutamanya dalam kalangan murid luar bandar sangat rendah, disebabkan ibu bapa daripada keluarga miskin kurang ilmu pengetahuan untuk membimbing atau mengajar anak-anak mereka sama ada pada peringkat sekolah rendah atau menengah.

“Mereka tidak mampu wujudkan persekitaran di rumah kerana mereka sendiri tidak boleh bertutur bahasa Inggeris,” katanya, dan menambah sekolah-sekolah kerajaan mempunyai peranan penting dalam memberikan dorongan kepada para murid untuk bertutur dalam bahasa itu.

Usaha sedemikan sudahpun dimulakan di banyak sekolah, termasuk hari khas setiap minggu untuk menggunakan bahasa Inggeris.

Namun, Saradha mengatakan bukan semua orang akan ikut peraturan ini.

“Dalam kes-kes tertentu, pentadbir sendiri gagal membuat pengumuman atau ucapan dalam bahasa Inggeris.”

Katanya pengetua dan guru-guru yang tidak terlibat dalam subjek bahasa Inggeris perlu menjadi contoh dengan bertutur dalam bahasa itu.

Katanya situasi berbeza di sekolah biara dan mubaligh di mana budaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris masih kuat.

“Saya dapat lihat para murid di sekolah mubaligh mampu bertutur bahasa Inggeris daripada rakan sebaya dan juga persekitaran,” tambahnya.

Taufik mencadangkan supaya guru-guru mempelbagaikan teknik pengajaran mereka dengan memberi lebih banyak peluang kepada murid untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam konteks kehidupan sebenar.

“Bawa mereka ke tempat-tempat awam seperti resort pelancongan, pulau, muzium dan pusat beli-belah di mana mereka boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam konteks dan persekitarannya yang sebenarnya,” katanya.

Malah di dalam kelas, guru boleh membenarkan murid memilih topik mereka sendiri semasa membuat pembentangan atau pengucapan awam, tambahnya.

“Murid-murid akan seronok kerana boleh menyampaikan apa yang disukai mereka. Jangan paksa mereka untuk membentangkan atau bercakap mengenai perkara yang mereka tidak biasa.”

Cadangan lain termasuk menggunakan teknologi seperti video untuk pengajaran dan penilaian yang berkesan.

Sementara itu Saradha mengatakan motivasi intrinsik adalah kunci untuk cemerlang dalam bahasa Inggeris.

Dia memberi contoh murid dari luar bandar yang mampu mempelajari bahasa Inggeris dengan cepat disebabkan keinginan mereka untuk melakukannya.

“Murid-murid ini tahu betapa pentingnya mempunyai gred yang baik yang membantu mereka melihat prospek lebih baik, kerjaya dan dihormati masyarakat,” katanya.

“Oleh itu, mereka berusaha keras bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.”

Dia juga mengatakan menukar bahasa pengantara untuk subjek mata pelajaran seperti sains dan matematik dapat membantu murid menjadi lebih mahir dalam bahasa Inggeris.

“Ibu bapa dan guru perlu terus memberikan inspirasi dan motivasi kepada murid-murid untuk belajar bahasa Inggeris dengan mewujudkan persekitaran di rumah dan juga di sekolah,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.