- Iklan -
Berita

Muhyiddin lancar DidikTV, saluran khas TV pendidikan

DidikTV mula bersiaran hari ini bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
DidikTV akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM. Gambar: Bernama
DidikTV akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saluran itu yang pertama kali diperkenalkan, mula bersiaran hari ini, menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV Unifi, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Ia merupakan antara usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM), untuk meningkatkan akses pendidikan seluruh negara.

Muhyiddin dalam ucapan perasmiannya berkata, DidikTV akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM, selain berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga Tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

Selain itu katanya, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.

“Saya yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah), khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak,” katanya.

Jelasnya KPM mengambil inisiatif menghidupkan semula slot program TV pendidikan secara terestrial sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu, sebagai usaha membolehkan murid mendapat bahan pembelajaran melalui televisyen, khususnya yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai.

“Kerajaan sedar bahawa pendidikan merupakan antara sektor yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu. Keadaan ini merupakan satu situasi yang sukar, sehinggakan KPM perlu mengambil keputusan menutup sekolah semasa tempoh pelaksanaan PKP.

“Apabila sekolah ditutup, pastinya pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah tidak dapat dilaksanakan. Namun begitu, KPM komited untuk terus menyediakan akses pendidikan kepada lebih lima juta murid bagi membolehkan mereka mendapat pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh yang singkat, memandangkan kepelbagaian latar belakang murid-murid dengan ada yang tinggal di kawasan bandar, luar bandar ataupun kawasan pedalaman.

Pada masa yang sama, Muhyiddin turut tertarik cara pengajaran yang dilakukan oleh Cikgu Arzman Saad bagi subjek Matematik Kertas 1, menerusi slot ‘Road to Success SPM 2020’ di saluran ntv7 yang disifatkan kreatif serta mudah diterima dan difahami oleh murid.

“Saya juga difahamkan bahawa guru yang dijemput untuk mengajar adalah dalam kalangan guru yang berpengalaman bidang masing-masing, supaya kualiti pengajaran yang disampaikan adalah pada tahap yang terbaik,” katanya.

Road to Success SPM 2020 sebelum ini disiarkan menerusi slot DidikTV di saluran ntv7, yang menjemput guru-guru pelbagai mata pelajaran bagi membincangkan teknik menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagi calon-calon peperiksaan.

Jelasnya, program sebegini adalah sangat baik bagi membantu calon peperiksaan SPM yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan.

Beliau turut melahirkan keyakinan ramai dalam kalangan warga pendidik mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif.

“Tahniah kepada guru-guru yang begitu komited mendidik anak murid dalam apa jua keadaan,” katanya.