Satu rakaman audio daripada perbualan telefon Rosmah Mansor yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal tahun lepas boleh digunakan sebagai bahan bukti dalam kes perbicaraan rasuahnya, kata Mahkamah Tinggi hari ini.
Keputusan oleh Hakim Zaini Mazlan itu membatalkan keputusan awalnya mengenai rakaman perbualan telefon melibatkan Rosmah dan suaminya Najib Razak serta beberapa individu lain, yang didedahkan oleh ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya pada Januari tahun lepas.
Klip audio panas “Boleh saya nasihatkan kamu tentang sesuatu?’ merupakan perbualan antara seorang lelaki dan wanita, yang dikenal pasti SPRM sebagai Rosmah dan Najib mendapat perhatian ramai.
Dalam rakaman tersebut, Rosmah didengar memberitahu suaminya untuk mengambil alih dalam menguruskan skandal 1MDB.
“Boleh saya nasihatkan kamu tentang sesuatu?” Rosmah didengar berkata.
“Saya tidak suka ini. Sayang, awak adalah perdana menteri, awak yang menentukannya, bukan orang lain okay? Awak dikelilingi orang bodoh yang beri nasihat.”
Fail audio itu merupakan salah satu daripada sembilan rakaman yang didedahkan SPRM membabitkan Najib dan lain-lain yang terlibat dalam skandal 1MBD, termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, bekas ketua SPRM Dzulkifli Ahmad dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.
SPRM mengatakan mereka sudah menunjukkan “penyalahgunaan kuasa dan pemalsuan bukti”.
“Terdapat pelbagai isu serius yang timbul, termasuk menyalahgunakan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah,” kata Latheefa pada sidang media di mana semua rakaman itu dimainkan.
Katanya klip audio tersebut diserahkan kepada agensi itu oleh individu yang tidak dikenali dan ia tulen.
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Rosmah untuk membela diri atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Zaini membenarkan rakaman itu dimainkan beberapa saat semasa perbicaraan kes tahun lalu, walaupun pihak pembelaan membantah.
Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, yang merupakan salah seorang saksi dalam perbicaraan itu, mengesahkan pemilik suara tersebut adalah Rosmah dan Najib.