- Iklan -
Berita

Seruan duduk di rumah satu cabaran buat gelandangan

Mereka kebanyakan yang tinggal di jalanan, tidak faham mengenai ‘duduk di rumah dan kekal selamat’.

Yee Hans Ng
3 minit bacaan
Kongsi
Kebanyakan gelandangan turut terkesan akibat pandemik Covid-19 terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Kebanyakan gelandangan turut terkesan akibat pandemik Covid-19 terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Bagi satu kumpulan rakyat negara ini, menyahut seruan “duduk di rumah dan kekal selamat” merupakan satu cabaran ketika negara sedang bergelut memerangi jangkitan pandemik Covid-19 sejak setahun yang lalu.

Di ibu kota Kuala Lumpur sahaja, beratus-ratus lelaki dan wanita tinggal secara gelandangan dengan tiada tempat untuk dipanggil sebagai rumah, tambahan pula dalam keadaan pandemik Covid-19 yang kini sudah meragut lebih 1,000 nyawa.

Mereka merupakan sebahagian daripada pemandangan biasa di pusat bandar, tidur beralaskan kepingan kadbod di kaki-kaki lima, atau meminta sedekah di lorong-lorong ditemani bungkusan pakaian.

Seorang pemilik gerai makanan memberitahu MalaysiaNow, satu ketika dahulu Jalan Tun Perak pernah menjadi lembah gelandangan.

“Kebiasaannya mereka memang ada di situ, tetapi sejak Covid-19 dan PKP dikuatkuasakan, kebanyakan mereka mula berpindah ke tempat lain di sekitar bandar ini,” katanya.

PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dikuatkuasakan pada 13 Januari lalu, sebahagian daripada usaha menurunkan jumlah jangkitan yang mencatat empat digit sejak penghujung tahun lalu.

Baru-baru ini kerajaan melanjutkan pelaksanaan PKP sehingga 4 Mac di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang dengan negeri-negeri lain dikenakan kawalan bersyarat atau PKPB kecuali Perlis (PKP Pemulihan).

Pemilik kedai itu juga mengatakan gelandangan di Kuala Lumpur sekarang ini “sudah menetap di tempat-tempat yang kini mereka rasa selesa dan selamat”.

“Kebiasaannya mereka memang ada di situ, tetapi sejak Covid-19 dan PKP dikuatkuasakan, kebanyakan mereka mula berpindah ke tempat lain di sekitar bandar ini,” katanya.

“Ada di antara mereka tinggal di kawasan berdekatan Masjid Jamek berhadapan sungai,” tambahnya.

Seorang pekerja penghantar barang yang sering mengunjungi kawasan Masjid Jamek turut mengatakan perkara sama yang kebanyakan gelandangan berkumpul di kawasan itu, dan menambah mereka akan keluar lebih kerap ketika cuaca redup, seperti waktu pagi dan sebelah petang sebelum maghrib.

“Saya selalu nampak mereka di Jalan Tun Perak, tetapi mereka mula berpindah ke sini sejak PKP dilaksana dan tak ramai orang datang ke kawasan ini,” katanya.

“Kebanyakan mereka juga takut dengan virus itu, dan mula buat penjarakan sosial mereka sendiri.”

Bagi mereka bergelar gelandangan, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada dijangkiti Covid-19.

“Ada yang pakai pelitup muka, ada yang tidak,” kata pekerja penghantar barang itu.

“Saya ada juga nampak ada orang beri mereka pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada mereka. Kebanyakan mereka hanya duduk di situ tanpa berbuat apa-apa atau kadangkala cuba melelapkan mata sekejap.”

Kehidupan ini sukar, malah makin sukar disebabkan pandemik yang menyebabkan ekonomi kucar-kacir dan pelaksanaan sekatan ketat ke atas kehidupan sosial.

Seorang gelandangan memberitahu MalaysiaNow mereka kebiasaan akan mendapatkan makanan daripada dapur amal beberapa kali seminggu. Tetapi sejak PKP dilaksanakan, semuanya berubah.

“Dulu mereka biasanya akan datang pada setiap hari Selasa dan Khamis, tetapi sekarang mereka hanya datang pada hari Khamis,” katanya.

Pusat penempatan sementara juga turut terkesan dengan Covid-19.

“Kami semua dikumpul dan dimasukkan ke penempatan sementara pada satu ketika, tetapi tempat-tempat ini ditutup ketika PKP dan kami terpaksa kembali ke jalanan selepas itu.”

Badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan melakukan yang terbaik dalam membantu pada gelandangan dalam tempoh sukar ini.

Pada April tahun lepas, lebih daripada 800 gelandangan di Kuala Lumpur diselamatkan dan ditawarkan penempatan sementara oleh jabatan kebajikan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Namun, walaupun terdapat inisiatif tersebut, masih banyak perlu dilakukan. Ada sesetengah organisasi seperti Need to Feed the Need mengatakan dana mereka mungkin tidak mencukupi untuk digunakan sepanjang PKP 2.0.

Buat sementara waktu ini, gelandangan terpaksa berjuang meneruskan hidup mereka di jalanan.

“Saya dapat RM800 daripada kerajaan sejak tahun lepas,” kata gelandangan itu kepada MalaysiaNow.

“Tetapi wang ini tidak mencukupi untuk bertahan lama”.