- Iklan -
Berita

Ahli akademik ‘clock in’ antara punca kemerosotan universiti awam

Budaya korporat yang diamalkan di universiti-universiti di Malaysia ketika ini tidak sesuai dengan dunia akademik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Sikap universiti yang terlalu menekankan kepada kuantiti penerbitan artikel menguatkan lagi budaya korporat ke dalam institusi pengajian tinggi negara. Gambar: AFP
Sikap universiti yang terlalu menekankan kepada kuantiti penerbitan artikel menguatkan lagi budaya korporat ke dalam institusi pengajian tinggi negara. Gambar: AFP

Kemasukan budaya korporat di universiti termasuk tergesa-gesa untuk memenuhi sesetengah indeks prestasi utama (KPI), termasuk amalan tidak beretika yang muncul disebabkan budaya kerja sebegitu dikatakan sebagai punca kemerosotan universiti awam susulan pendedahan terbaru yang menjejaskan imej institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Syed Farid Al-Attas, rakyat Malaysia yang mengajar di Universiti Nasional Singapura (NUS) menjelaskan contoh-contoh budaya korporat yang tidak sesuai dengan dunia akademik.

Antaranya seperti budaya “clock in” ataupun sistem daftar diri harian untuk mula bekerja.

“Saya rasa hampir di semua universiti, mereka mesti ada budaya ‘clock in’. Mesti berada di kampus dari jam berapa ke berapa, seperti waktu pejabat sedangkan ia tidak berlaku di universiti bertaraf tinggi di luar negara,” kata profesor di Jabatan Sosiologi, NUS itu kepada MalaysiaNow.

“Yang penting dia mesti menunjukkan dia bekerja. Dia sudah menerbitkan berapa buku, berapa makalah (artikel) yang bagus, penerbitan yang bagus. Bukan soal dia kerja atau menulis di biliknya, di kampus atau dia duduk di kedai kopi”.

Syed Farid Al-Attas. Gambar: NUS

Pada Ahad, MalaysiaNow melaporkan penemuan daripada dua orang profesor dari Republik Czech, yang antara lain turut mendedahkan ahli akademik Malaysia termasuk dalam kalangan penulis terkenal yang menerbitkan lebih daripada 300 “jurnal pemangsa” atau penerbitan dipersoalkan standard kandungan dan editorial, dan dikatakan kebiasaannya menerima bayaran untuk menerbitkan artikel.

Jurnal pemangsa merupakan penerbitan yang dipersoalkan standard kandungan dan editorial, serta dikatakan sering menerima bayaran untuk menerbitkan artikel.

Pengkritik sosial Chandra Muzaffar dan ahli akademik Faisal Tehrani menyuarakan mengenai universiti tempatan menjadi mangsa kepada imperialisme akademik.

Mereka berkata, dalam perlumbaan untuk disenaraikan dalam ranking global yang diatur di Barat, kebanyakan meletakkan kepentingan terhadap jumlah penyelidikan yang dihasillkan untuk dipetik di dalam jurnal antarabangsa.

Farid berkata, sikap universiti yang terlalu menekankan kepada kuantiti penerbitan artikel di dalam jurnal berprestij peringkat antarabangsa menguatkan lagi budaya korporat ke dalam institusi pengajian tinggi negara.

“Tidak ada guna kalau kita keluarkan 10 makalah yang hanya merupakan tulisan yang dikatakan diskriptif. Tulisan gambaran. Tetapi tiada huraian, analisis, teori, dan konsep yang baru dan original.

“Jadi, dua atau tiga makalah yang bercorak teoritikal yang menyumbang kepada persoalan teoratik dan penghasilan metodologi yang baru. Dua atau tiga makalah seperti itu lebih berguna berbanding 10 makalah yang hanya menggambarkan sesuatu,” katanya.

Farid menegaskan pengulangan dalam penyelidikan apabila terlalu banyak jurnal diterbitkan tidak akan menjadikan seseorang ahli akademik itu lebih baik dan dikenali dengan sumbangan ilmu dalam bidang yang dipeloporinya.

“Contohnya, jika saya menghasilkan satu atau dua makalah dan menghidangkan satu penafsiran pendekatan Ibnu Khaldun ataupun saya mengemukakan teori yang baru mengenai Ibnu Khaldun yang dipengaruhi oleh Ibnu Khaldun. Satu pendekatan yang baru, itu jauh lebih berguna.

“Saya juga akan dikenali di seluruh dunia dalam kalangan ahli-ahli dalam bidang pemikiran Islam. Saya akan jadi terkenal dan ia juga boleh menaikkan nama universiti saya. Itu yang kita namakan kualiti berbanding kuantiti.”

Katanya, strategi yang menekankan kepada jumlah penghasilan sesuatu perkara mungkin sesuai dengan sektor korporat demi keuntungan kerana institusi pendidikan seharusnya menghasilkan ilmu yang baru bukan jumlah penerbitan yang ditekankan.

Pensyarah manipulasi pelajar

Pada masa sama, katanya, standard universiti tempatan semakin diragui dengan wujudnya amalan tidak beretika apabila terdapat segelintir pensyarah memaksa pelajar pasca siswazah menyenaraikan nama mereka sebagai penulis bersama kajian sedangkan tiada sumbangan diberikan.

“Ini tidak beretika dan tidak betul. Jadi, ada pensyarah yang punyai banyak penerbitan tetapi kita kurang pasti berapa banyak yang sebenarnya dia sudah tulis, dah adakah dia sendiri yang tulis?

“Inilah juga yang menjejaskan budaya akademik,” katanya dan menambah trend itu semakin berleluasa sejak beberapa universiti tempatan menekankan jumlah penerbitan sebagai indeks prestasi utama (KPI) ahli akademik.

Farid turut menyelar universiti tempatan yang dikatakan tidak memahami budaya penyelidikan apabila sarjana digalakkan menerbitkan artikel dalam jurnal berprestij dalam bahasa Inggeris.

Katanya, ini menyebabkan sarjana tempatan cenderung menulis dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu untuk membicarakan gagasan idea dan teori dalam proses penghasilan penyelidikan mereka.

“Walaupun kita mesti tulis dalam bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, kita juga perlu menulis dalam bahasa Melayu. Kita menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengungkapkan gagasan idea supaya dapat berkomunikasi dengan rakyat Malaysia dan rakyat serantau yang tidak berbahasa Inggeris,” katanya.

Farid berkata, jika trend itu berterusan dalam budaya akademik negara, lambat laun, penghasilan artikel dan jurnal dalam bahasa Melayu akan dianggap sebagai lebih rendah martabatnya.

“Dan memang ia akan menjadi lebih rendah kerana orang yang mempunyai kemahiran lebih tinggi, mereka memilih untuk tulis dalam bahasa Inggeris dan menerbitkan artikel mereka ke dalam jurnal antarabangsa.

“Sebab kalau kita hanya tulis dalam bahasa Melayu dan tidak terbitkan makalah kita ke dalam jurnal ranking yang tinggi, jadi tak boleh naik pangkat. Tidak boleh ambil bahagian dalam mana-mana anugerah. Biasanya begitu,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.