Pemberian vaksin Covid-19 kepada perdana menteri dan menteri Kabinet diawalkan kepada Rabu ini berbanding jadual asal pada Jumaat, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta barisan menteri Kabinet yang lain akan menjadi individu pertama menerima vaksin itu.
“Selepas melalui beberapa penilaian, semua dilihat cekap dan berjaya melakukan kerja dengan pantas dan atas dasar itu PM memutuskan untuk percepatkan kepada Rabu ini dan tidak perlu tunggu sehingga Jumaat,” kata Khairy pada sidang media selepas ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech pertama hari ini.
Katanya, bukan semua 300,000 yang sepatutnya mendapat vaksin bagi fasa pertama akan disuntik pada Rabu akan tetapi diberi secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan.
Khairy yang juga Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, perdana menteri dan ketua pengarah kesihatan akan disuntik dengan vaksin di Klinik Kesihatan Putrajaya selepas selesai mesyuarat Kabinet pada Rabu.
“Seluruh program vaksinasi diawalkan, kita bincang selepas perdana menteri dan ketua pengaran kesihatan diberi vaksin kita akan mulakan kepada mereka yang akan membuat suntikan.
“Setakat ini jumlah barisan hadapan yang berdaftar menerima vaksin ialah 271,802 orang terdiri daripada sektor kesihatan dan sektor lain. 57.3% daripada jumlah tersebut ialah anggota kesihatan dan 42.7% bukan kesihatan termasuk Tentera, Polis, Rela, Bomba dan pegawai penjara.
”Mengulas penerimaan vaksin kumpulan pertama hari ini, Khairy berkata ia membabitkan 312,390 dos dan Malaysia akan menerima penghantaran seterusnya pada 26 Februari ke beberapa negeri.
“Ia akan disusuli setiap dua minggu kita akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech sehinggalah kita menerima keseluruhan tempahan dari Pfizer, itu yang dari Pfizer sahaja belum lagi kita umum vaksin lain yang akan terima pada 27 Februari babitkan kumpulan pertama vaksin keluaran Sinovac.
“Saya nak mengemukakan juga vaksin yang sampai hari ini akan dihantar ke 16 lokasi pusat penyimpanan vaksin seluruh negara dan vaksin juga dihantar melalui kenderaan darat dari Singapura ke Johor dan akan tiba di Johor Bahru pada jam 2 petang ini dan vaksin juga akan dihantar ke Pulau Pinang melalui pesawat dan akan tiba jam 6 Petang ini,” katanya dan menambah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah buat penilaian untuk memastikan tiada apa-apa kesan sepanjang penghantaran.
Sidang media itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sambil disaksikan Noor Hisham.
Menurut Khairy, kerajaan akan mewujudkan skim perlindungan untuk memberi pampasan kepada penerima vaksin Covid-19, sekiranya ada antara mereka mendapat kesan sampingan yang serius daripada vaksin itu.
Katanya, perkara itu diputuskan jemaah menteri dalam mesyuarat khas minggu lalu dan dalam proses diperincikan.
Katanya, skim itu akan memberi pampasan ex-gratia kepada mana-mana penerima vaksin Covid-19 dikenal pasti mengalami kesan sampingan serius, yang boleh dikaitkan dengan pemberian vaksin berkenaan.
Katanya, Malaysia kekal dengan polisi untuk memberikan dua dos suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kepada penduduk negara ini.
“Perkembangan terbaru yang kita baca baru-baru ini yang keluar dari sebuah negara yang melaksanakan program vaksinasi dengan kadar cepat, dinyatakan bahawa vaksin Pfizer (suntikan) satu dos sahaja memberi keberkesanan 85%.