- Iklan -
Berita

Internet berisiko jadikan remaja mangsa eksploitasi seks

Remaja berpengetahuan dalam teknologi tetapi tidak cukup dewasa untuk melihat dan menangani pemangsa seksual dalam talian yang memburu mereka.

Yee Hans Ng
3 minit bacaan
Kongsi

Dalam satu kaji selidik yang dijalankan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), 87% rakyat Malaysia berusia 18 tahun mengaku mempunyai rakan yang terlibat dengan “tingkah laku berisiko dalam talian”.

Hampir 90% remaja perempuan dan 75% lelaki dilaporkan menerima komen dan permintaaan berunsur seks yang tidak diingini semasa melayari internet.

Golongan remaja pada umumnya lebih cerdik teknologi berbanding ibu bapa mereka ketika berada di dunia maya, tetapi pengalaman mereka dalam dunia orang dewasa mungkin belum mencukupi bagi membolehkan mereka mengesan pemangsa yang sedang memerhati secara dalam talian.

Remaja hari ini menggunakan media sosial untuk melakukan semua perkara menerusi peranti mereka, tetapi keutamaan lebih kepada bertanya khabar dengan orang disayangi termasuk mencari kawan baru dan menjalin hubungan.

Ketika pandemik, mereka dipaksa duduk di rumah dengan keluarga, internet menjadi satu-satunya cara mereka dapat mengekalkan dan menambah rangkaian sosial dan menjalinkan persahabatan.

Pemangsa dewasa menyedari mengenai hal itu. Mereka menjadikan keadaan itu sebagai peluang untuk menyusuri internet bagi mencari remaja yang terdedah sebelum mengintai, mempersiapkan dan kemudian mengeksploitasi mereka secara seksual.

Laporan Unicef mengatakan antun seksual secara dalam talian boleh jadi orang yang tidak dikenali atau sebaliknya kepada mangsa yang disasarkan.

Apabila mangsa yang disasarkan dikenal pasti, pelaku antun seksual akan menyembunyikan niat sebenar mereka dengan memberi perhatian, pujian dan apabila sudah mesra akan mula memberikan hadiah.

Selepas perangkap yang dipasang berjaya, antun akan mengaturkan pertemuan bagi membolehkan niat sebenar direalisasikan: bagi mengeksploitasi mangsa mereka secara seksual.

Kadang-kadang mereka berjaya.

Seorang mangsa yang terselamat yang hanya ingin dikenali sebagai Andrea baru-baru ini berkongsi traumanya dalam media sosial dan bersetuju bercerita dengan MalaysiaNow.

“Anda bukan sahaja dijaga untuk tujuan seks, tetapi turut diajar untuk mendiamkan diri,” katanya.

“Ibu bapa saya sibuk bekerja, selain cuti perayaan dan festival mereka tidak punya banyak masa. Selepas sekolah saya akan menghabiskan banyak masa di internet.”

Andrea disapa di Facebook oleh seorang lelaki yang mengatakan berumur lima tahun lebih tua daripadanya.

“Ketika itu saya bersendirian di rumah dan rasa selamat apabila ada orang lain selain ahli keluarga saya yang boleh diharapkan.”

Pemangsa adalah seorang yang penyabar dan tidak gopoh tetapi akhirnya Andrea dan antun seksualnya menjadi mesra yang kemudian bertukar menjadi intim.

Selepas beberapa kali bertemu, dia dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual dengan pemangsa.

“Anda bukan sahaja dijaga untuk tujuan seks, tetapi turut diajar untuk mendiamkan diri,” katanya.

“Saya tidak tahu apa yang saya buat. Dia membawa saya ke sebuah hotel untuk janji temu dan mahu saya merahsiakan daripada rakan-rakan dan keluarga saya. Dia tetap melakukan hubungan seks walaupun saya melawan”.

Selepas insiden itu, lelaki itu menghantar Andrea pulang.

Dia tidak pernah berhubung dengan lelaki itu lagi, dan tidak menghiraukan mesej ataupun menjawab sebarang panggilan.

Dia menyimpan rahsia hitamnya itu selama bertahun-tahun tetapi akhirnya menceritakan hal itu kepada ibu bapanya dan mendapatkan rawatan tekanan perasaan dan kemurungan akibat kejadian itu.

“Selepas saya selesai menjalani rawatan, saya membuat keputusan untuk berkongsi pengalaman saya di Twitter untuk meluah dan memberitahu remaja mengenai ancaman itu. Kanak-kanak dan ibu bapa perlu tahu mengenai wujudnya orang seperti itu dalam media sosial.”

Senarai daftar pesalah jenayah seksual kanak-kanak dilancarkan pada 2019 yang mengandungi kira-kira 3,000 pedofilia.

ECPAT International adalah rangkaian organisasi global yang berusaha untuk menghentikan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

Ia mengeluarkan laporan yang menyenaraikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan seks dan “pengeksport” pemangsa seks ke negara-negara tetangga.

Organisasi kebajikan kanak-kanak ingin mengetatkan undang-undang sama seperti Akta Kanak-kanak 2001 untuk mengurangkan pemangsa yang berjaya menjadikan golongan bawah umur sebagai mangsa.

Namun, walaupun dibuktikan Andrea, menghalang pemangsa bukannya mudah dilakukan.

Internet wujud di mana-mana sahaja dan menghubungkan sesiapa sahaja yang anda inginkan dengan hanya satu klik.

Kisah The Big Bad Wolf yang diceritakan dalam beberapa kisah dogeng kanak-kanak kini seolah-oleh menjadi nyata.

Bagi sesetengah orang, ia adalah satu kenyataan.

Andrea yang terselamat kini menjadi pembimbing dan guru.

Dia mengigil ketika menceritakan pengalaman hidupnya kepada MalaysiaNow.

“Mereka sentiasa ada di luar sana, and apa yang boleh kita lakukan sekarang mengajar anak-anak tentang mereka.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.