Pihak pengurusan Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi saranan agar pengguna menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebagai laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang akibat penutupan lorong disebabkan kebakaran kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlaku pada pada kilometer 3.2 jambatan pada pukul 7.30 malam semalam.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan sewaktu kejadian tersebut berlaku dan PLUS bersama TNB dan Jabatan Bomba & Penyelamat (JBPM) termasuk polis akan melakukan siasatan.
“Lorong kanan di kedua-dua arah lokasi kebakaran tersebut kini ditutup selama beberapa hari untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
“PLUS menjamin keseluruhan struktur jambatan masih kukuh dan selamat digunakan oleh ramai ekoran kejadian kebakaran yang berlaku semalam.”
Dilaporkan selepas kebakaran yang berlaku semalam, kejadian sama berulang lagi apabila JBPM Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.17 pagi tadi.
Pasukan anggota dari Balai Bomba & Penyelamat (BBP) Perai, Bandar Perda dengan bantuan BBP Paya Terubong ke lokasi bagi memadam kebakaran manakala tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.
Dalam pada itu PLUS akan mengemaskini keadaan trafik dari semasa ke semasa menerusi laman media sosial rasmi mereka selain menyarankan pengguna memuat turun aplikasi PLUS bagi maklumat lanjut.
Kejadian kebakaran kabel elektrik itu bukan pertama kali berlaku kerana pada September 2010, insiden sama terjadi apabila tiga kabel kuasa tinggi terbakar di Jambatan Pulau Pinang sehingga mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan pulau terutamanya di Bayan Lepas.