- Iklan -
Berita

Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap Sajat

Waran itu dikeluarkan kerana Sajat gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya hari ini tanpa sebarang sebab.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat. Gambar: Bernama
Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya hari ini tanpa sebarang sebab.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Peguam syarie Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu mengesahkan perkara berkenaan dan berkata kes ditangguh ke 1 Jun depan.

“Saya pun tunggu dia datang, tetapi tiada. Dia diwajibkan hadir pada tarikh baru,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah hari ini.

Selain Zuri Zabuddin, usahawan kontroversi itu turut diwakili peguam syarie Ahmad Nazib Johari, Noor Azlina Che Hassan dan Amirah Zainal.

Pada 6 Jan lalu, Muhammad Sajjad, 36, dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan jadual asal, Muhammad Sajjad sepatutnya menghadapi sebutan semula kes tersebut pada 9 pagi tadi, namun hingga prosiding berakhir, kelibatnya tidak kelihatan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.