- Iklan -
Berita

Masih wujudkan ruang pejabat selepas pasca pandemik?

Kebanyakan syarikat mengatakan mereka bersedia untuk meneruskan trend kerja dari rumah walaupun ruang pejabat tidak akan lenyap sepenuhnya.

Yee Hans Ng
2 minit bacaan
Kongsi

Arahan bekerja dari rumah kini menjadi norma baru buat kebanyakan industri yang masih dibayangi pandemik Covid-19, menjadikan masa depan ruang pejabat tradisional tidak menentu dengan beberapa organisasi mengatakan berkemungkinan tidak akan kembali beroperasi ke tempat kerja fizikal.

Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun lalu menyaksikan permulaan kepada peralihan dari bangunan bata dan mortar dengan perniagaan serta syarikat berusaha mencari jalan bagi meneruskan operasi ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan penutupan sektor-sektor utama kecuali perkhidmatan perlu selama tiga bulan bermula Mac hingga Jun.

Biarpun perniagaan dibenarkan untuk kembali beroperasi di bawah fasa kawalan bersyarat (PKPB) dan pemulihan (PKPP), sebahagian besar perniagaan lebih selesa untuk kekal berada dalam talian kerana lebih mendapat sambutan.

“Kita bekerja dari rumah sejak setahun yang lalu dan kita tidak merancang untuk kembali bekerja seperti biasa dalam masa terdekat,” kata seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat di Kuala Lumpur kepada MalaysiaNow.

“Pejabat yang kami sewa terletak di Mid Valley, dan kami memutuskan untuk tidak lagi menyewa kerana sudah lama terbiar dan berhabuk sejak setahun lalu.”

Menurut satu kajian yang dijalankan JLL Property Services, 81% generasi millennium merasakan mereka bersedia dari segi teknologi untuk memulakan kerja dari rumah manakala 52% mengatakan mereka lebih selesa dengan cara itu.

Sebuah syarikat yang baru dibuka di Kuala Lumpur, kesemua 12 orang pekerjanya bekerja dari rumah sejak setahun lalu.

Dan dengan menggunakan tanda pagar #WorkFromHome and #WFH yang kini menjadi ikutan di seluruh dunia, amalan itu kelihatan seolah-olah akan kekal.

“Pejabat yang kami sewa terletak di Mid Valley, dan kami memutuskan untuk tidak lagi menyewa kerana sudah lama terbiar dan berhabuk sejak setahun lalu.”

“Banyak yang boleh dilakukan dengan komunikasi yang baik,” kata CEO itu. “Oleh itu kami memilih untuk melakukan kerja dari rumah untuk sepanjang tahun ini.”

Bagi syarikat ini termasuk juga yang lain, teknologi memainkan peranan penting sebagai jambatan merapatkan jurang komunikasi sepanjang tempoh pandemik. Perbincangan boleh dilakukan menerusi aplikasi Slack dan taklimat harian menggunakan Google Meet.

“Kami juga memiliki seorang pekerja di Syria dan kami menyesuaikan waktu kerja dengan zon masanya,” tambah CEO itu.

Di bangunan pejabat berdekatan, seorang pentadbir memberitahu MalaysiaNow beberapa orang penyewa menarik diri daripada perjanjian sewaan bagi tempoh enam bulan akan datang memandangkan kebanyakan mereka sendiri tidak pasti berapa lama keadaan sekarang ini akan berkekalan.

“Mereka tidak mahu membayar tanpa dapat apa-apa. Apabila PKP dilaksakan kembali, mereka memilih jalan paling mudah dengan beroperasi dari rumah,” katanya.

Biarpun ramai golongan millennium dan mereka yang mampu menyesuaikan diri dengan bekerja dari rumah mungkin tidak lagi gemar bekerja di pejabat, kajian JLL Property Services mendapati ruang pejabat tidak akan lenyap sepenuhnya.

Ruang pejabat dapat memberikan “persekitaran kerja optimal untuk bersosial dan menyediakan budaya tersendiri,” katanya.

Ia turut menyentuh mengenai keadaan pasca pandemik bagi tujuan “rancang atau reka semula ruang kerja” untuk menyediakan “infrastruktur dan kerjasama pasukan dalam kalangan kakitangan secara jauh atau dekat”.

Namun, buat masa ini, kebanyakan syarikat yang baru dibuka di Kuala Lumpur bersedia untuk bekerja dari rumah dalam tempoh masa panjang.

“Kami berjaya lakukannya sejak sekian lama, jadi kenapa perlu berubah?”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.