- Iklan -
Berita

Imigresen harus disiasat kerana langgar perintah mahkamah, kata NGO

Human Rights Watch berkata, jabatan imigresen harus sedar mereka tidak boleh bertindak melangkaui undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Salah sebuah kapal yang digunakan bagi menghantar pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka. Gambar: Facebook
Salah sebuah kapal yang digunakan bagi menghantar pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka. Gambar: Facebook

Badan bukan kerajaan (NGO) Human Right Watch mahu jabatan imigresen disiasat selepas media melaporkan semalam lebih 1,000 rakyat Myanmar dihantar pulang walaupun mahkamah memerintahkan penangguhan penghantaran itu sehingga pendengaran mahkamah yang dijadualkan pagi ini.

Dalam satu kenyataan hari ini mereka berkata, tindakan disiplin dan undang-undang perlu diambil kepada sesiapa yang didapati melanggar perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang memutuskan peraturan dan undang-undang perlu diwujudkan bagi memastikan penghantaran pulang pada masa akan datang selari dengan undang-undang antarabangsa.

“Pihak berkuasa imigresen Malaysia menunjukkan mereka mengabaikan hak asas warga Myanmar dan perintah Mahkamah Tinggi Malaysia secara terbuka,” kata Linda Lakhdhir, penasihat undang-undang Human Rights Watch di Asia.

“Ketua pengarah imigresen membahayakan nyawa mereka dengan menghantar pulang ke negara yang kini diperintah tentera dan mempunyai rekod lampau menghukum penentang politik atau berdasarkan etnik mereka”.

Sejumlah 1,086 tahanan dihantar menggunakan tiga kapal tentera laut Myanmar melalui pangkalan tentera laut selepas tiba dengan lori dan bas yang diiringi polis.

Rancangan untuk menghantar pulang 1,200 rakyat Myanmar dikritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi dengan Amnesty International dan Asylum Access mencabar tindakan itu dimahkamah.

Kumpulan hak asasi ini berhujah Malaysia tidak melaksanakan tanggungjawab antarabangsanya dengan menghantar pulang golongan yang terdedah kepada bahaya.

Mahkamah Tinggi mengarahkan penangguhan untuk membenarkan semakan kehakiman dilakukan hari ini untuk menghalang penghantaran pulang.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata semua pendatang yang tidak memiliki dokumen dihantar pulang, tanpa menyebut tentang perintah mahkamah.

“Jabatan imigresen dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia, National Task Force (NTF) dan pihak kedutaan Myanmar, melaksanakan program penghantaran pulang 1,086 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warganegara Myanmar pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Lakhdhir bagaimanapun berkata, jabatan imigresen “seharusnya sedar mereka tidak boleh bertindak melangkaui undang-undang”.

“Dengan tentera Myanmar yang ganas kembali berkuasa, adalah berisiko untuk menghantar pulang warga Myanmar yang kini lebih takut untuk kembali,” katanya.

Berhubung dengan dakwaan pihak berkuasa tiada pemohon suaka yang dihantar pulang, Lakhdhir berkata “jaminan jabatan imigresen itu tidak begitu diambil kira”.

“Tanpa siasatan menyeluruh yang telus tentang warga yang dihantar pulang dan memberikan UNHCR akses kepada tahanan, suaka dan pencari suaka di Malaysia berisiko ditahan lebih lama dan kembali kepada pendakwaan”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.