- Iklan -
Berita

Pengasas Sugarbook mengaku tidak bersalah cetus kegentaran awam

Pengakuan Chan Eu Boon, 34, itu direkod selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sabreena Bakar@ Bahari.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Tertuduh seorang usahawan teknologi maklumat didakwa dengan niat menyebabkan suatu ketakutan atau kegentaran kepada orang awam. Gambar: Bernama
Tertuduh seorang usahawan teknologi maklumat didakwa dengan niat menyebabkan suatu ketakutan atau kegentaran kepada orang awam. Gambar: Bernama

Pengasas aplikasi Sugarbook didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam, 10 Februari lalu.

Tertuduh, Chan Eu Boon, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sabreena Bakar@ Bahari.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan tersebut 10 Februari lalu, kira-kira 10.00 pagi dengan menggunakan sebuah laman web bagi menyiarkan satu hantaran bertajuk ‘Top 10 sugar baby universiti in Malaysia’.

Hantaran itu dilihat pada pada hari yang sama, kira-kira pukul 6.26 petang di sebuah universiti awam di sini.

Tertuduh seorang usahawan teknologi maklumat didakwa dengan niat menyebabkan suatu ketakutan atau kegentaran kepada orang awam, bahawa mana-mana orang akan terdorong untuk melakukan satu kesalahan yang bertentangan dengan ketenteraman awam, melalui hantaran tersebut.

Chan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam T. Shashi Devan dan Pauling Hee.

Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM100,000, kerana ia merupakan kesalahan yang serius dan melibatkan kepentingan awam.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, dan passport tertuduh diserahkan manakala sebutan semula kes 26 Mac depan.

Pada 18 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman tertuduh bagi membantu siasatan atas dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Media turut melaporkan usahawan tempatan berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu, ditahan pada 4.30 petang di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, 17 Februari lalu.