- Iklan -
Berita

Pasaran hartanah kekal stabil dalam tempoh pandemik

Tiada perubahan ketara secara keseluruhan dari segi permintaan harga untuk suku keempat 2020, dengan pasaran dijangka terus meningkat pada 2021.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Secara keseluruhan pasaran hartanah dijangka bertambah baik pada 2021, khususnya pada separuh kedua tahun ini.
Secara keseluruhan pasaran hartanah dijangka bertambah baik pada 2021, khususnya pada separuh kedua tahun ini.

Pasaran Hartanah menunjukkan petanda ketahanan, berdasarkan laporan terkini Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMI) tidak mencatatkan perubahan pada keseluruhan harga permintaan bagi suku akhir 2020 walaupun terkesan dengan impak ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, ia secara keseluruhan mengatakan permintaan harga kekal pada 88.60 mata dalam suku ketiga (Q3) dan keempat (Q4) tahun lepas.

PropertyGuru mengatakan situasi ini mungkin rentetan daripada program vaksinasi Covid-19 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengurus negara, Sheldon Fernandez mengatakan secara keseluruhan pasaran hartanah dijangka bertambah baik pada 2021, khususnya pada separuh kedua tahun ini.

Katanya pandangan itu disokong ramalan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.1% dan keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%, dengan kemungkinan ia akan diturunkan lagi.

“Perlu untuk terus berhati-hati bahawa sekarang bukanlah waktu ‘biasa’, dan sebarang situasi Covid-19 bertambah buruk akan menjejaskan semua sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

MPMI mengumpul dan mengindeks data daripada lebih 450,000 senarai di dalam PropertyGuru.com.my.

Laporan itu mendapati keseluruhan bekalan tahunan terus meningkat sebanyak 0.98% tahun ke tahun (YoY), dengan bekalan stok hartanah beransur-ansur kembali memasuki pasaran walaupun terdapat gangguan berkaitan pandemik.

“Penting juga untuk disebut yang jumlah bekalan suku tahunan yang turun naik atau tidak konsisten sepanjang musim pandemik menggambarkan pembatasan aktiviti komersial.

Ini disebabkan oleh pengetatan dan pelonggaran peraturan kawalan pergerakan, dan bukannya faktor asas permintaan-penawaran yang biasanya menentukan pergerakan pasaran,” tambah Sheldon.

Menurut laporan MPMI pasaran hartanah di Selangor menunjukkan peningkatan positif sebanyak 0.84%, menandakan wujudnya potensi harga permintaan kembali semula ke zon positif pada 2021.

Kata syarikat itu, Selangor berada dalam “posisi kukuh untuk terus bertahan” walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi yang akan terus menyekat tingkah laku pembeli dalam beberapa bulan akan datang.

“Orang ramai akan terus membanjiri pusat ekonomi negara dan negeri paling padat penduduk itu untuk mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, laporan MPMI menunjukkan permintaan harga merosot sebanyak 1.80% sukuk e suku (QoQ), kerana banyak pasaran hartanah terkemuka di kawasan metropolitan berdepan tekanan penurunan secara berterusan disebabkan penyusutan tarikan antarabangsa.

Dalam pasaran utama lain seperti Pulau Pinang, harga permintaan mengalami penyusutan sebanyak 0.78% QoQ.

Bagaimanapun laporan itu mengatakan dengan perubahan harga minimum yang jarang melangkaui tanda aras 2% YoY sejak dua tahun lepas, Pulau Pinang cenderung untuk menjadi antara pasaran utama pertama yang kembali ke zon harga positif sebaik ekonomi mula pulih.

Di selatan, harga permintaan di Johor jatuh sebanyak 0.83% QoQ disebabkan negeri ini terus berdepan dengan isu besar ketidaksepadanan hartanah, yang pada awalnya dibina menyasarkan pembeli antarabangsa di bawah rancangan Iskandar Malaysia.

PropertyGuru mengatakan sebahagian besar bekalan terus melepasi julat harga pembeli tempatan, disifatkan penganalisis pasaran sebagai masalah jangka panjang yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk selesai.

Lantaran itu, harga permintaan di Johor mencatat penurunan terbesar antara empat wilayah utama dari perspektif tahunan, jatuh sebanyak 4.92% YoY.

“Rangkumannya, pasaran hartanah akan ditentukan oleh ‘penggerak’ dan ‘penunggu’ pada tahun-tahun mendatang, dengan ada antara mereka akan bergerak masuk ke dalam pasaran untuk memanfaatkan kewujudan situasi menggalakkan, yang lain pula akan terus menunggu untuk lanjutan kejatuhan harga atau situasi kewangan yang lebih stabil,” kata Fernandez.

“Kami juga menjangkakan lonjakan awal dalam aktiviti transaksi pada 2021, apabila pembeli bergegas untuk memanfaatkan inisiatif Pemilikan Rumah Mampu Milik yang berakhir pada 31 Mei 2021 disebabkan harga semasa dan kadar faedah yang rendah.”