- Iklan -
Berita

AmBank bayar Putrajaya RM2.83 bilion disebabkan penglibatan dalam skandal 1MDB

Pembayaran ini akan menguntungkan rakyat Malaysia kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB masih disiasat pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Gambar: AFP
Skandal 1MDB masih disiasat pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Gambar: AFP

AMMB Holdings Bhd (AmBank) bersetuju untuk membayar sejumlah RM2.83 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai penyelesaian global bagi semua tuntutan dan tindakan berkaitan dengan penglibatan mereka dalam skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada zaman pentadbiran Najib Razak.

“Penyelesaian terbaru ini bermanfaat bagi rakyat Malaysia. Penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak,” kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam satu kenyataan dikeluarkan kementerian kewangan hari ini.

“Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan, dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa. Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB.”

Pembayaran itu adalah sebahagian daripada usaha tuntutan kembali berterusan oleh kerajaan Malaysia terhadap semua pihak yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti berkaitan dengannya, kata kenyataan itu.

“Ini susulan kejayaan kerajaan dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (US$3.9 bilion) pada Julai 2020.”

Bagaimanapun, kesemua penyelesaian ini tidak akan membebaskan entiti dan individu lain dari salah laku mereka dalam kes 1MDB dan mereka akan tetap didakwa menerusi sistem keadilan mahkamah, katanya.

Pembayaran itu adalah sebahagian daripada usaha tuntutan kembali berterusan oleh kerajaan Malaysia terhadap semua pihak yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti berkaitan dengannya, kata kenyataan itu.

Penyelesaian global itu adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Sebahagian daripada terma-terma penyelesaian global ini termasuk syarat oleh SC agar AmInvestment Bank Berhad mengambil langkah-langkah pembetulan, termasuk menambah baik sistem dan proses untuk memperkuatkan kerangka kerja tadbir urus mereka di dalam penilaian sukuk terbitan korporat.

Jumlah penyelesaian ini adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang telah dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dibayar oleh AmBank yang sudah mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk memperbetulkan kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.

Ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank, yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan baru.

Dengan langkah-langkah ini, AmBank berada di kedudukan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham dan bagi memastikan pertumbuhannya di masa hadapan.

“Penyelesaian global ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan, dan yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB,” katanya.

Kementerian kewangan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini.

Pada Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), sebuah syarikat berkait 1MDB.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.