- Iklan -
Berita

Bukan sekadar hak harta intelek, pakar ajar cara jadikan vaksin lebih murah

Serum Institute of India menawarkan cara mudah bagi menangani masalah eksklusif vaksin ketika darurat kesihatan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat menjalankan persiapan akhir di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Daerah Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah baru-baru ini. Gambar: Bernama
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat menjalankan persiapan akhir di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Daerah Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah baru-baru ini. Gambar: Bernama

Sebarang langkah menggantung hak harta intelek bagi tujuan inovasi perubatan untuk memerangi Covid-19 boleh menjadi seperti pedang bermata dua, kata pakar ketika muncul perdebatan global mengenai cara-cara untuk menurunkan kos bagi melawan pandemik.

Sri Sarguna Raj, seorang peguam yang pakar dalam harta intelek berkata, walaupun menggantung atau menghapuskan perlindungan hak harta intelek mampu meringankan beban kewangan dalam melawan virus merbahaya itu, ia juga bermakna menghapuskan kaedah yang berkesan dengan memberikan insentif terhadap penemuan baru terutamanya vaksin dan peralatan perubatan.

Sri berkata, peralatan perubatan seperti vaksin adalah produk yang kompleks, di mana menggantung atau menghapuskan hak harta intelek mungkin bukan pendekatan terbaik untuk menjadikannya boleh diakses negara-negara miskin.

“Halangan utama dalam pembuatan vaksin dan terapeutik adalah kemudahan pengeluaran mencukupi, infrastruktur, dan pengetahuan tentang bagaimana membuatnya,” kata Sri kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Tahun lalu, India dan Afrika Selatan mengemukakan cadangan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk menggantung sementara beberapa bahagian dalam Perjanjian Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS). Langkah tersebut mendapat sokongan sekitar 100 negara membangun dan miskin termasuk individu terkemuka.

Gesaan itu sekali lagi mendapat sokongan ketika negara-negara kaya mula menerima vaksin Covid-19 yang sangat diperlukan.

Ia juga menyebabkan peningkatan trend apa yang digelar “nasionalisme vaksin”, di mana kerajaan, sebagian besarnya negara maju memberikan vaksin hanya untuk populasi mereka.

Data yang baru-baru dipetik oleh The Economist mengatakan separuh daripada bekalan dunia yang disimpan hanya untuk 15% penduduknya.

“54 negara terkaya mempunyai 18% untuk orang dewasa, tetapi 40% pesanan vaksin – cukup untuk memberi setiap orang dewasa mereka 2.5 dua dos,” kata majalah itu baru-baru ini.

Undang-undang hak harta intelek memastikan orang yang mendaftarkan bagi tuntutan hak eksklusif untuk sesuatu penemuan mempunyai hak untuk menafikan orang lain meniru atau mereplikakanya tanpa izin.

Awal bulan ini, 28 organisasi mendesak Putrajaya untuk menggantung penguatkuasaan undang-undang harta intelek bagi membantu vaksin dibuat dengan lebih murah, dan memberi manfaat kepada negara-negara membangun.

Baru-baru ini, pemimpin WTO Ngozi Okonjo-Iweala menggesa anggotanya dan juga Kesatuan Eropah untuk menghentikan sekatan eksport vaksin dan produk perubatan lain yang diperlukan untuk memerangi pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Sri mengatakan terdapat cara lain untuk mengatasi kebimbangan mereka yang menggesa penggantungan hak harta intelek terhadap inovasi Covid-19.

“Isu penawaran dan permintaan dapat dicapai melalui perlesenan sukarela, lesen bukan eksklusif dan perjanjian pemindahan teknologi dan bukannya menggantung hak harta intelek,” tambahnya.

Pelesenan diwajibkan mengikut Akta Paten Malaysia 1983.

Ia membantu menangani keadaan di mana pencipta mendaftarkan paten di Malaysia tetapi tidak mengeluarkan produk di negara ini, menghalang organisasi lain daripada melakukannya atau mengeluarkan kuantiti terhad untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi.

Sri berkata, lesen yang diwajibkan akan membolehkan pihak ketiga selain daripada pemegang hak harta intelek untuk mengeksploitasi nombor siri paten tersebut tanpa persetujuan pemilik paten.

Dan keadaan darurat kesihatan awam semasa dapat memberikan hujah yang baik berhubung perkara itu.

Sri mengatakan potensi ancaman mewajibkan lesen akan memberikan tekanan kepada syarikat paten untuk membenarkan lesen bukan eksklusif atau perjanjian pemindahan teknologi.

Ini sama seperti yang berlaku kepada syarikat perubatan gergasi AstraZeneca dan Novavax dengan Serum Institute of India, iaitu pengeluar vaksin terbesar di dunia untuk negara membangun seperti hepatitis B, demam campak, penyakit beguk dan Rubella.

Syarikat itu kini dikatakan bakal menghasilkan satu bilion dos AstraZeneca untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana, dan berjanji untuk memberikan 240 juta dos pada separuh pertama tahun ini melalui Covid-19 Vaccines Global Access, atau Covax.

Sri mengatakan bahawa Artikel 31bis Perjanjian Perdagangan Hak Harta Intelek, atau TRIPS, membenarkan negara-negara yang menghasilkan ubat-ubatan generik di bawah lesen wajib, untuk mengeksport ke negara-negara dengan kapasiti domestik yang terhad.

TRIPS merupakan perjanjian global mengenai harta intelek antara negara anggota WTO.

“TRIPS menetapkan standard minimum dalam undang-undang paten di mana semua negara anggota WTO diwajibkan untuk mematuhi dan menyelaraskan dengan undang-undang tempatan masing-masing,” kata Sri.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.