- Iklan -
Berita

Khairy jelaskan mengapa tidak ambil vaksin Pfizer

Beliau merupakan menteri yang menguruskan pembelian vaksin dan masih belum mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin di KLIA di Sepang untuk menyambut ketibaan vaksin Covid-19 Sinovac dari China. Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin di KLIA di Sepang untuk menyambut ketibaan vaksin Covid-19 Sinovac dari China. Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia

Khairy Jamaluddin mengesahkan tidak akan mengambil vaksin Covid-19 daripada jenama Pfizer-BioNTech, yang pertama tiba di Malaysia bersama-sama dengan barisan hadapan dan pemimpin kerajaan lain dalam fasa pertama.

Sebaliknya beliau yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi yang bertanggungjawab dalam menguruskan pembelian vaksin bernilai berbilion-bilion ringgit, mengesahkan akan menunggu jenama vaksin Covid-19 yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) seterusnya.

Katanya, selepas meneliti beberapa pandangan dan pendapat rakyat dan pada masa sama melihat kebanyakan pemimpin utama termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan barisan hadapan menerima vaksin Pfizer membuatkan rakyat semakin yakin dengan vaksin tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, wujud keraguan dalam kalangan masyarakat mengenai keberkesanan jenama lain yang akan dilancarkan.

“Jadi sekarang ini rakyat tanya semua orang ambil vaksin Pfizer, barang baik yang lain-lain ini semua untuk orang biasa sahaja.

“Jadi saya dah buat keputusan semalam saya akan ambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya. Apa sahaja vaksin yang diluluskan seterusnya saya orang pertama ambil.

“Kalau Sinovac then Sinovac, kalau daripada Rusia then Russia, kalau Xineca then Xineca lah. Saya tidak akan ambil vaksin Pfizer,” katanya pada sidang media khas selepas menerima 200 liter vaksin Sinovac dari China hari ini.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi yang pertama diberikan suntikan vaksin Pfizer, ketika negara melancarkan program imunisasi kebangsaan secara besar-besaran yang diharapkan dapat diselesaikan pada akhir tahun ini.

Vaksin Sinovac dari China adalah kumpulan vaksin kedua yang tiba selepas Pfizer sekitar 200 liter yang akan diubah menjadi lebih dari 300,000 dos.

Malaysia membeli 14 juta dos Sinovac, yang bakal merangkumi kira-kira satu per lima populasi negara.