- Iklan -
Berita

Muhyiddin tetap perkukuh hubungan antarabangsa

Pandemik Covid-19 tidak bermakna negara tidak memberi perhatian dalam hubungan antarabangsa.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin ketika Wawancara Khas Bersama Perdana Menteri dengan beberapa organisasi media sempena setahun beliau menjadi perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara, di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Muhyiddin Yassin ketika Wawancara Khas Bersama Perdana Menteri dengan beberapa organisasi media sempena setahun beliau menjadi perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara, di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Dalam keadaan dunia bergelut dengan Covid-19 yang mengehadkan pergerakan manusia, hubungan antarabangsa Malaysia dengan rakan asing tetap mantap.

Setelah berjumpa Presiden Indonesia Joko Widodo, Muhyiddin Yassin dijadualkan terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan China beberapa bulan ini untuk mengukuhkan hubungan sedia ada.

Yang terdekat, perdana menteri dijadualkan melawat Arab Saudi dan UAE bulan depan.

Muhyiddin berkata dalam keadaan pandemik Covid-19 tidak bermakna negara tidak memberi perhatian dalam hubungan antarabangsa, malah Malaysia sentiasa memberi keutamaan dalam bidang ini.

Ini bagi memastikan Malaysia mempunyai hubungan akrab dengan negara luar dan mengekalkan dasar berbaik-baik kerana hasil daripada itu ia sudah semestinya memberi keuntungan.

“Jangkaan dalam bulan Mac ini saya akan pergi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, selepas itu mungkin nak pergi ke China ada rancangan begitu kerana bagi saya hubungan yang telah terjalin sekian lama mesti kita diperkukuhkan.

“Ada faedah dari segi perdagangan, pelaburan, pendidikan, budaya, seni dan sebagainya. Sebab itu saya kalau boleh hubungan kita dengan semua negara Asean ini yang terdekat menjadi keutamaan kita. Lepas ini ke Brunei, selepas itu Jepun, Korea, memang semua negara ini kita ada hubungan, ada bilateral, ada perjanjian baik perdagangan, pelaburan, pendidik,” katanya semasa wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau memegang jawatan perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara, di Kuala Lumpur.

Mengambil contoh lawatan rasminya ke Indonesia awal bulan ini, Muhyiddin berkata hubungan Malaysia-Indonesia bukan hubungan biasa tetapi mempunyai kepentingan ekonomi kerana Indonesia akan bangkit sebagai satu kuasa besar seperti negara China.

“Dasar Malaysia sejak dulu dan saya pertahankan dasar itu tetapi soal dasar tidak cukup, hasil hubungan itu mesti memberi keuntungan kepada kita, jadi mesti ada hubungan yang akrab.

“Sebab itu saya pilih Indonesia dalam keadaan tidak menentu kerana Pak Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) kata sila Pak, orang Indonesia sedang menunggu, jadi saya pergi,” katanya.

Muhyiddin berkata pandemik Covid-19 tidak menghalang negara untuk menjalinkan hubungan erat melalui Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang diadakan secara maya pada November tahun lepas.

“Alhamdulillah macam di sidang Apec hari itu, kita berjaya menguruskan, saya berinteraksi secara maya dengan semua pemimpin dunia. Saya lebih seronok kalau dapat hubungan secara peribadi dengan cara lawatan fizikal, tetapi tidak boleh.

“Pelaksanaan imunisasi vaksin ini penting bukan saya sahaja nak keluar negara, peniaga nak keluar negara tetapi apabila dah ada vaksin kita rasa lebih selamat. Mungkin ini akan membuka sempadan kita, hubungan kita dengan negara lain pun lebih akrab lagi, Insya-Allah,” katanya.

Mengenai pendirian Malaysia terhadap polisi luar negara, Muhyiddin menegaskan kerajaan pimpinannya tidak pernah mengubah dasar yang baik untuk negara dan terlepas pandang isu-isu luar negara.

Beliau berkata Malaysia tidak pernah “main-main” dalam menjalinkan hubungan akrab dengan negara luar termasuk China kerana ia boleh merugikan negara.

“Ia tidak diabaikan namun disebabkan keadaan dan situasi, tetapi kementerian luar kita yang memainkan peranan utama dalam menjalin hubungan dengan negara lain itu berjalan macam biasa. Menteri pun berhubung secara maya, telefon dan sebagainya.

“Saya dapat laporan (secara) berkala. Kalau ada isu-isu tertentu Malaysia tidak terkecuali, isu Myanmar ataupun isu yang berlaku di Timur Tengah, kita tahu apa berlaku dan kita ada pendirian negara kita tentang isu-isu tertentu sejak dulu dan secara konsisten walaupun ini pentadbiran baharu,” katanya.

Mengenai pendirian Malaysia terhadap polisi luar negara, Muhyiddin menegaskan kerajaan pimpinannya tidak pernah mengubah dasar yang baik untuk negara dan terlepas pandang isu-isu luar negara.

Beliau berkata selain Asean, antara dasar utama negara ialah hubungan dengan negara Islam kerana orang mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam terkemuka.

“Banyak dulu hubungan kita dengan negara Islam bukan kerana dengan Islam sahaja tetapi ada faedah pada yang lain-lain juga. Dengan negara China yang merupakan rakan dagang terbesar kita, ini tidak boleh main-main, kalau kita tidak ada hubungan akrab dengan mereka dalam bentuk apa, ini merugikan Malaysia.

“Sebab itu saya punya cadangan nak melawat sana berjumpa dengan Presiden Xi Jinping berbincang banyak agenda yang telah pun diputuskan yang lalu dan nak lihat bagaimana China dan Malaysia boleh bekerjasama,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.