- Iklan -
Berita

Menuju 2050, satu dari empat orang bakal alami masalah pendengaran

Langkah pencegahan harus dilakukan segera bagi mengelak kerugian besar.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Kesihatan pendengaran perlu dijaga, jika tidak, kos yang ditanggung untuk merawatnya adalah tinggi. Gambar: AFP
Kesihatan pendengaran perlu dijaga, jika tidak, kos yang ditanggung untuk merawatnya adalah tinggi. Gambar: AFP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa nisbah satu dari empat orang di seluruh dunia akan mengalami masalah pendengaran pada tahun 2050.

WHO berkata pelaburan dalam pencegahan dan rawatan pendengaran perlu dimulakan ketika ini.

Laporan global yang pertama kali diumumkan WHO itu berkata bahawa punca masalah pendengaran termasuk jangkitan, penyakit, kecacatan kelahiran, pencemaran bunyi dan pilihan gaya hidup.

Bagaimanapun, masalah pendengaran boleh dicegah jika usaha mencegahnya dilakukan segera.

Laporan itu mencadangkan satu pakej langkah, yang menelan belanja AS$1.33 setiap orang setahun.

Jika tidak, angka kerugian hampir satu trilion dolar AS setiap tahun mungkin ditanggung kerana masalah ini tidak ditangani.

“Kegagalan untuk bertindak akan menjadikan kos lebih mahal dari segi kesihatan dan kesejahteraan mereka yang terjejas, kerugian kewangan pula akan timbul kerana mereka akan dikecualikan dari komunikasi, pendidikan dan pekerjaan,” kata laporan itu.

Ketika ini, satu dari lima orang di seluruh dunia mengalami masalah pendengaran, katanya lagi.

Namun laporan itu memberi amaran: “Jumlah orang yang memiliki gangguan pendengaran mungkin meningkat lebih dari 1.5 kali ganda dalam tiga dekad akan datang” kepada 2.5 bilion orang – meningkat dari 1.6 bilion pada tahun 2019.

Daripada jumlah 2.5 bilion itu, 700 juta orang pada tahun 2050 akan memiliki masalah pendengaran serius sehingga mereka memerlukan beberapa jenis rawatan.

Peningkatan jangkaan jumlah itu mengambil kira keadaan demografi dan trend populasi, jelas laporan tersebut.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.