- Iklan -
Berita

Makna pembukaan sekolah bagi keluarga B40

Golongan B40 menghadapi kesukaran berdepan asakan hidup sepanjang pandemik Covid-19.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Walaupun berdepan cabaran Covid-19, Norhanita, 41, sentiasa mengutamakan pendidikan anak-anaknya.
Walaupun berdepan cabaran Covid-19, Norhanita, 41, sentiasa mengutamakan pendidikan anak-anaknya.

Berita pembukaan sekolah bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi Mohd Zaini Shamsudin, 42, yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Apatah lagi apabila enam daripada lapan orang anak-anaknya masih bersekolah dan selepas kesukaran berdepan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), Zaini perlu memikirkan bagaimana mencari wang tambahan untuk kemasukan semula ke sekolah.

Namun Zaini yang menetap di Taman Rinching di Semenyih, Selangor bernasib baik kerana isterinya Norhanita, 41, tidak pernah merungut malah mendidik anak-anaknya untuk sentiasa bersyukur dengan apa sahaja yang ada.

“Saya dan suami berkahwin selepas masing-masing gagal dalam perkahwinan terdahulu. Suami saya sendiri mempunyai lima orang anak dengan isteri pertama. Saya pula mempunyai tiga orang anak dengan suami sebelum ini,” kata Norhanita apabila ditemui MalaysiaNow.

“Meskipun mereka semua adik beradik tiri tetapi mereka saling memahami dan membantu sesama sendiri malah faham kesusahan yang ditanggung oleh ayah mereka.”

Norhanita berkata, dia tidak dapat bekerja kerana mempunyai penyakit tiroid dan perlu ke hospital setiap bulan untuk mendapatkan rawatan.

“Jadi kami redha dan menjalani kehidupan serba sederhana malah adakalanya sampai tidak ada beras untuk makan.”

NorHanita Abdul Halim tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit tiroid.

Menurut salah seorang anaknya, Nurisha Ezzatie Mohd Nawan, selagi baju atau kasut masih boleh dipakai meskipun ada yang sudah koyak atau “senteng” mereka akan tetap menggunakannya.

“Ketika ada kelas PdPR kami secara bergilir-gilir akan guna telefon bimbit mak untuk belajar atau buat kuiz. Tapi ada masanya kami terlepas juga kelas PdPR apabila kredit mak habis untuk layari internet.

“Tapi kami semua tidak pernah merungut kami faham hanya ayah seorang sahaja yang cari nafkah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Derita ibu tunggal

Seorang ibu tunggal Norfaizatul Azliana, 39 yang turut menetap di Taman Rinching, bekerja di sebuah restoran makanan segera dengan pendapatan RM1,400 sebulan.

Dengan pendapatan itulah digunakan Norfaizatul untuk membesarkan tujuh orang anak-anak adiknya yang tidak dapat menjaga mereka termasuk dua orang anaknya sendiri.

Norfaizatul Azliana tabah menjaga tujuh anak saudaranya.

Akan tetapi Norfaizatul tidak menganggapnya sebagai satu bebanan dan sepenuh kasih sayang dicurahkan kepada semua anak saudaranya itu.

“Saya sayang mereka semua macam anak saya sendiri. Saya tidak pernah anggap mereka orang luar. Apa saya makan itulah yang dia orang makan.

“Walaupun ada masa saya susah sangat sehingga tak mampu nak minta tolong sesiapa tetapi dengan sikap anak-anak saudara saya ini yang sentiasa dengar kata dan bantu sesama sendiri membuatkan saya sentiasa berusaha berikan yang terbaik kepada mereka,” katanya sambil menunjukkan bil elektrik yang sudah tertunggak hampir RM6,000 sejak 2019 kepada MalaysiaNow.

Daripada tujuh beradik yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan, empat daripada mereka yang berusia 15, 12, 11 dan 9 tahun perlu meneruskan persekolahan.

Manakala tiga lagi beradik berusia lima, tiga tahun dan 10 bulan pula dijaga secara bergilir-gilir oleh abang dan kakaknya sebaik sahaja pulang daripada sekolah.

Anak-anak daripada keluarga kurang pendapatan hanya bersyukur dengan kasut sekolah tahun lepas.

Bagi mereka, jika diberi baju terpakai yang masih elok sudah memadai untuk meneruskan persekolahan agar tidak ketinggalan pelajaran.

Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Warga Prihatin Hulu Langat, Fairuz Rusli yang sentiasa membantu kedua-dua keluarga ini dari segi bahan keperluan asas, tetap mengharapkan sumbangan orang ramai.

“Setiap bulan saya pasti akan bertanya khabar kedua-dua keluarga ini jika ada apa-apa bantuan yang diperlukan.

“Kami selalu beri bantuan barang makanan asas iaitu dinamakan ‘kotak rezeki’ terdiri daripada tepung, gula, beras, kicap, bawang, telur dan beras. Kami berikan kepada keluarga yang memohon atau cari sendiri mereka yang susah.

“Selagi saya mampu saya pasti akan bantu. Tapi dalam masa yang sama saya juga perlukan sumbangan dalam bentuk wang tunai bagi membantu mereka membayar tunggakkan bil elektrik, air atau sewa rumah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya termasuk di kawasan Hulu Langat, dianggarkan 700 keluarga yang susah dan terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk Orang Asli.