Ekonomi Malaysia adalah antara yang paling bebas di rantau Asia Pasifik dengan menduduki tangga ke-5 di antara 40 negara di rantau ini, selain menduduki tangga ke-22 di peringkat dunia, menurut indeks kebebasan ekonomi tahunan terkini yang diterbitkan oleh sebuah badan pemikir Amerika Syarikat (AS).
Indeks Kebebasan Ekonomi yang diterbitkan The Heritage Foundation itu turut memberikan Malaysia skor yang lebih baik dari sudut integriti pentadbiran, dengan 53.2 berbanding 49.4 pada tahun 2020.
“Undang-undang ini melindungi pemilik hartanah. Protokol diwujudkan untuk memastikan integriti pendaftaran hartanah dan sistem pemilikan,” katanya dan menambah bahawa Malaysia turut memiliki pelan antirasuah nasional yang sebelum ini tidak wujud dalam pentadbiran Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.
“Namun masih perlu dilihat berapa kuat rancangan itu akan dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, indeks tersebut menunjukkan Malaysia mencatat skor sedikit rendah dari segi kebebasan buruh, perniagaan, dan beban cukai, ketika ia mencatat skor lebih baik berhubung kebebasan kewangan dan perdagangan.
“Kerajaan mengambil langkah untuk meliberalisasikan dasar pelaburan asing, namun masih wujud syarat penyertaan ekuiti tempatan di beberapa sektor. Penyesuaian peraturan di sektor kewangan termasuklah pelonggaran had pemilikan asing dalam subsektor kewangan,” kata laporan itu lagi.
Sejak berkuasa setahun lalu, pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berjanji tidak akan mengganggu kes rasuah yang melibatkan ahli politik.
Tahun lalu, bekas perdana menteri Najib didapati bersalah bagi tujuh pertuduhan berkaitan dana berjumlah RM42 juta yang disalahguna dari SRC International.
Putrajaya hari ini berkata tidak akan berkompromi dalam usahanya mengheret mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.
Pada Julai 2020, kerajaan mencapai penyelesaian sekitar RM19 bilion dari Goldman Sachs, Ambank dan Deloitte, tiga entiti yang terlibat dalam skandal 1MDB.
Indeks Kebebasan Ekonomi dibaca melalui 12 indikator di bawah empat kategori: kedaulatan undang-undang, ukuran kerajaan, kecekapan peraturan dan pasaran terbuka.
Walaupun skor keseluruhan Malaysia turun sebanyak 0.3 mata, kedudukan globalnya meningkat dua anak tangga dari kedudukan ke-24 pada tahun lalu.
Indeks yang menyenaraikan 172 negara dalam rankingnya, turut meletakkan Malaysia dalam kategori “Hampir Bebas”, di samping 33 negara lain terdiri daripada ekonomi utama dunia seperti Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Sweden, Korea Selatan dan Jepun.
Mengungguli indeks di baris kedua tahun ini adalah Singapura, dengan skor 89.7 mata, ia diikuti New Zealand, Australia, Switzerland dan Ireland.