Penduduk Petaling Jaya yang menentang rancangan projek lebuh raya PJD Link mempersoalkan sikap berdiam diri beberapa orang wakil rakyat sedangkan kawasan mereka adalah antara yang akan terjejas.
Sejak beberapa minggu lalu, protes dilihat semakin meningkat terhadap rancangan untuk meneruskan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), yang laluannya mirip dengan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).
Pada 2015, projek kontroversi Kidex dibatalkan oleh menteri besar Selangor ketika itu, Mohamed Azmin Ali selepas kerajaan mendapat tekanan hebat penduduk.
Malangnya, pada 2020, suara lantang ahli politik berkenaan pembinaan lebuh raya yang mirip projek Kidex dilihat suram dan sepi.
Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah sahaja yang didapati bersuara menyokong bantahan penduduk kawasan sekitar projek tersebut.
“Setakat ini, hanya Maria yang buat bantahan terhadap lebuh raya yang dicadangkan; yang lain diam tak bersuara,” kata Josh Hong, seorang penduduk dari Seksyen 17, antara kawasan yang akan terjejas jika projek lebuh raya 34 km itu diteruskan.
Tinjauan MalaysiaNow mendapati penduduk giat memasang sepanduk untuk membantah PJD Link di beberapa lokasi utama termasuk di sekitar Lebuhraya Persekutuan.
Penduduk juga didapati menggantung sepanduk “No PJD Link” di luar kediaman mereka.
Pembinaan PJD Link sedang dirancang sebagai lebuh raya ekspres empat lorong yang bermula dari plaza tol NKVE di Lebuh Raya Sprint dan berakhir di Lebuh Raya Bukit Jalil.
Lebuh raya itu akan menghubungkan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.
Jika projek tersebut diteruskan, antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka terjejas ialah Bukit Gasing, Bandar Utama dan Kinrara.
Namun, Hong berkata ketiga-tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mewakili kawasan tersebut – Rajiv Rishyakaran, Jamaliah Jamaluddin dan Ng Sze Han – masih belum menunjukkan usaha mereka bagi membantu penduduk mengenai projek lebuh raya itu.
“Mereka mesti bantu penduduk kawasan mereka untuk dapatkan lebih banyak maklumat mengenai projek itu, bukannya membisu mengenai masalah ini,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Bantahan terhadap PJD Link semakin meningkat namun kebanyakan Adun tidak responsif, tidak membantu dan tidak serius perhatikan isu ini.”
Setakat ini, usaha MalaysiaNow untuk menghubungi ketiga-tiga Adun itu masih belum mendapat apa-apa respons.
Selain Hong, pengkritik lantang lain berkenaan projek tersebut adalah Sheikh Moqhtar Kadir yang mengetuai Jawatankuasa Tindakan Penduduk Seksyen 14.
“Kita perlu ada perbincangan dengan pemaju dan kerajaan negeri untuk mengesahkan penilaian kesan terhadap lalu lintas, sosial dan persekitaran.
“Kerajaan negeri mesti adakan pertemuan dan ajak penduduk untuk ambil bahagian dalam perbincangan,” kata Moqhtar.
Projek lebuh raya PJD Link akan dibangunkan oleh PJD Link (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan yang diketuai oleh Hari Narayanan Govindasamy, seorang peniaga yang juga memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat swasta.
Syarikat tersebut mempertahankan projek itu dan menyifatkannya sebagai projek penting yang perlu dilaksanakan bagi meredakan kesesakan lalu lintas di Petaling Jaya selain dapat mengurangkan masa perjalanan.
Namun, pengkritik berkata lebuh raya itu akan menjejaskan penduduk dan perniagaan, selain meningkatkan pencemaran bunyi dan membahayakan kesihatan dan kawasan sekitar.
Penduduk juga turut menolak dakwaan bahawa projek tersebut bakal meredakan kesesakan.
Mereka berkata PJD Link hanya akan menarik lebih banyak trafik dari bandar-bandar berdekatan.
Moqhtar turut menyuarakan kekecewaan beliau dengan dengan wakil rakyat, kerana dilihat gagal memenuhi janji pilihan raya mereka.
“(Antara) manifesto PRU14 adalah tidak akan ada tol di PJ tetapi selepas pilihan raya, semua yang kita dengar adalah matlamat pembangunan,” kata Moqhtar, yang merupakan sebahagian daripada Gabungan Membantah PJD Link, sebuah kumpulan yang ahlinya terdiri daripada penduduk Petaling Jaya, memberitahu MalaysiaNow.
Beliau berkata rancangan untuk mengembalikan Kidex dengan nama berbeza adalah bertentangan dengan jaminan ahli politik yang sebelum ini berkata projek berkenaan tidak akan dijalankan.
“Kami merasa ditipu kerana selama ini, wakil rakyat meyakinkan kami bahawa Kidex sudah mati.
“Menteri besar sebelum ini berkata bahawa Kidex akan dihentikan tetapi penggantinya kata, akan diteruskan pula,” tambahnya.
Michael Kum, salah seorang anggota lain Gabungan Membantah PJD Link pula berkata perlu ada penilaian kesan lalu lintas, sosial dan persekitaran serta rundingan dengan penduduk yang terjejas.
“Kami tidak menentang pembangunan tetapi projek ini tidak betul sejak awal. Kami cadangkan kerajaan negeri tampil dengan model pengangkutan yang lebih baik. Kami tidak perlu lebih banyak kereta di jalan,” katanya.
“Kerajaan negeri harus jelaskan secara jelas apakah projek PJD Link sudah dipersetujui atau belum, dan apakah penilaian terhadap dampak lingkungan, sosial dan ekonomi sudah dilaksanakan.”
Sementara itu, Hong mempersoal pendirian Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang dilihat memihak kepada pemaju.
“Jika syarat pun tidak boleh nak dipenuhi, apa asasnya dia minta penduduk PJ untuk dengar cakap pemaju! Mengapa dia remehkan pengkritik dengan sifatkan mereka ’emosional’ sedangkan MB sendiri tolak untuk berikan penjelasan terperinci mengenai projek itu?” soal Hong.