- Iklan -
Berita

Umno bakal tangguh pemilihan, tanding PRU15 sebagai pembangkang

Penangguhan tersebut adalah bagi memberikan masa kepada Umno untuk bersedia menghadapi PRU15.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
A random man walks infront of UMNO logo at UMNO HQ building in Kuala Lumpur.
A random man walks infront of UMNO logo at UMNO HQ building in Kuala Lumpur.

Kepimpinan Umno bakal mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan Jun depan selepas presidennya dijangka akan dicabar sekali lagi dalam pemilihan tersebut.

MalaysiaNow difahamkan langkah tersebut adalah bagi memberikan masa kepada Umno untuk bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka akan diadakan Ogos ini.

Kepimpinan utama Umno baru-baru ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan hanya menyokong pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional sehingga Parlimen dibubarkan.

Dengan keputusan itu, Umno akan menghadapi pilihan raya tanpa menjadi sebahagian daripada kerajaan. Ia adalah kali pertama dalam sejarah Umno yang sebelum ini sentiasa menikmati keistimewaan dalam setiap pilihan raya umum sebagai kerajaan pusat.

Walaupun PRU dijadualkan pada 2023, Muhyiddin beberapa kali mengulangi kesediaan untuk membubarkan Parlimen apabila perintah darurat berakhir pada Ogos depan selain situasi pandemik Covid-19 yang membolehkan ia dilaksana.

Menurut sumber MalaysiaNow, usul penangguhan Pemilihan Umno 2021 sudah dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bulan lepas di Janda Baik, Pahang.

Namun perbincangan dan keputusan mengenai usul tersebut hanya boleh dilakukan pada Perhimpunan Agung Umno yang sepatutnya berlangsung akhir Mac ini.

Berdasarkan perlembagaan Umno, MKT mempunyai kuasa untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga 18 bulan.

Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun dan kali terakhir Umno mengadakan pemilihan ialah pada 30 Jun 2018. Tahun Umno dijatuhkan oleh Pakatan Harapan dalam PRU14.

Dalam pemilihan Umno 2018, Zahid berjaya mengalahkan dua pencabarnya, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh bagi jawatan presiden.