- Iklan -
Berita

New Zealand keluar amaran tsunami

Gempa dengan kekuatan 8 skala Richter berlaku pada pukul 8.25 pagi tadi waktu tempatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gempa tersebut disifatkan penduduk tempatan sebagai "menakutkan" dan "paling kuat pernah dirasakan". Gambar: AFP
Gempa tersebut disifatkan penduduk tempatan sebagai "menakutkan" dan "paling kuat pernah dirasakan". Gambar: AFP

Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional (Nema) New Zealand pada Jumaat mengeluarkan amaran tsunami kali ketiga berturut-turut ekoran gempa dengan kekuatan 8 skala Richter berlaku 8.25 pagi waktu tempatan menggegarkan sekitar Kepulauan Kermadec, kira-kira 1,100 kilometer (km) ke utara Pulau Utara New Zealand.

Nema meminta penduduk setempat segera mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi, beredar dari semua zon evakuasi tsunami, tidak berada di rumah sehingga dimaklumkan Nema, lapor Agensi Berita Xinhua.

Sebelum ini, gempa berkekuatan 7.4 menggegarkan Pulau Raoul, pulau terbesar di Kepulauan Kermadec, pada 6.41 pagi waktu tempatan.

Bahagian terjejas ialah kawasan pantai termasuk di utara dan timur Pulau Utara.

Menurut Nema, “Gelombang pertama mungkin bukan yang terbesar. Aktiviti tsunami akan berterusan selama beberapa jam dan ancaman itu berterusan sehingga amaran ini dibatalkan. ”

Satu lagi gempa berkekuatan 7.1 melanda pada 2.27 pagi waktu tempatan kira-kira 95 km ke timur Te Araroa, titik paling timur laut Pulau Utara New Zealand, menyebabkan gegaran “kuat” dan mencetuskan amaran tsunami, lapor GeoNet NZ.

Gempa tersebut disifatkan penduduk tempatan sebagai “menakutkan” dan “paling kuat pernah dirasakan”.

Perkhidmatan kereta api dihentikan dan laluan melintasi bahagian timur Pulau Utara ditutup untuk pemeriksaan landasan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.