Syarikat e-dagang Shopee menafikan penjualan vaksin Pfizer bagi Covid-19 di platform atas talian mereka seperti yang tular di media sosial.
Shopee dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa tiada sebarang penyenaraian produk sedemikian seperti yang didakwa dalam sekeping gambar promosi.
“Penyebaran gambar penjualan vaksin tersebut di media sosial atau WhatsApp adalah palsu dan rekaan semata-mata selain ianya tidak wujud di Shopee,” katanya.
“Perkara melibatkan vakin Covid-19 ini adalah satu isu penting dan tidak boleh dipandang remeh,” kata kenyataan itu lagi
Menurut Shopee, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut sedia maklum mengenai perkara tersebut.
Dalam pada itu, Shopee turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai penjualan vaksin. Menurutnya, sebarang aktiviti pemalsuan berita adalah dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM.
Terdahulu, kekecohan dan rasa tidak puas hati timbul dalam kalangan pengguna media sosial apabila wujud gambar yang memaparkan vaksin Covid-19, Pfizer didakwa telah dijual dengan harga RM63.88 di laman e-dagang terbabit.