- Iklan -
Berita

Cabaran mempertahan hubungan jarak jauh di era pandemik

Setahun berlalu, larangan ke luar negara masih berjalan, pasangan berlainan kerakyatan terpaksa bertahan walau stres dan jatuh sakit.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Terima kasih kepada teknologi, pasangan yang terpisah kini lebih senang berhubung. Gambar: Pexels
Terima kasih kepada teknologi, pasangan yang terpisah kini lebih senang berhubung. Gambar: Pexels

Walau jauh di mata kerana terpaksa berpisah, namun dekat di hati kerana saling berkasih menjadikan pasangan Eleanor Hazel Ang dari Filipina dan Mun Kai Hoang dari Malaysia melakukan semua usaha bagi mengekalkan hubungan jarak jauh mereka.

Empat tahun sebelum ini, mereka sering melakukan perjalanan dari kedua-dua negara untuk bertemu setiap tahun.

Namun, 2020, pandemik Covid-19 melanda dunia.

Mun Kai Hoang dan Eleanor Hazell bergambar bersama sebelum pandemik.

Negara-negara di seluruh dunia terpaksa menutup sempadan mereka bagi mengekang jangkitan wabak. Dan pasangan kekasih ini terpaksa menerima hakikat bahawa sukar untuk mereka bertemu lagi.

Setahun berlalu, keadaan tidak kunjung berubah.

“Waktu ini sangat sukar, mencabar dan menekan perasaan,” kata Ang, 27, kepada MalaysiaNow.

“Sebelum (pandemik) ini, sekurang-kurangnya kami dapat bertemu lima kali setahun, tiba-tiba dah tak boleh berjumpa,” jelasnya.

Ang dan Mun adalah antara pasangan kekasih yang kini terpisah akibat larangan perjalanan ke luar negara ketika dunia dilanda pandemik. Pandemik yang telah meragut 2.5 juta orang sejak virus Covid-19 dikesan pada akhir 2019.

Di Malaysia, ziarah keluarga dan pasangan warga asing masih diklasifikasi sebagai perjalanan bukan utama.

“Ada waktu, saya menangis saja untuk lepaskan tekanan,” kata Ang.

Namun ia bukan hanya perasaan kecewa – stres yang beliau hadapi turut mempengaruhi kesihatan fizikalnya.

“Kerana stres, saya sampai gugur rambut,” kata Ang. Bahkan ketika melakukan pemeriksaan kesihatan baru-baru ini, doktor mendapati wujud ketumbuhan di rahim kirinya.

“Saiz rahim kiri saya membesar sekali ganda,” katanya.

Walaupun teknologi kini membolehkan And dan Mun berhubung setiap hari. Ia bagaimanapun mengingatkan hakikat bahawa mereka berdua terpisah.

“Dengan teknologi yang ada, kita rasa pasangan kita bersama kita, tapi kita tak boleh sentuh mereka,” kata Ang.

Bagi menghadapi situasi tersebut, Ang menyertai sebuah kumpulan maya Facebook bernama “Love Is Not Tourism Malaysia”. Ia adalah sebahagian gerakan global ketika awal pandemik diumumkan bagi membantu pasangan yang terpisah akibat larangan perjalanan antarabangsa. Gerakan itu turut menggesa pihak berkuasa untuk melaksanakan sekatan “yang lebih manusiawi” kepada pasangan kekasih yang terpisah di antara dua negara.

Sara L dan pasangannya menggunakan FaceTime untuk berhubung di era pandemik.

Sara L, salah seorang pengasas kumpulan itu berkata beliau mendapat inspirasi daripada hubungan jarak jauh dengan pasangannya di Amerika Syarikat.

Hubungan mereka sudah berusia dua tahun dan mereka kini melaluinya dengan penuh sukar bagi tetap menjaga hubungan jarak jauh di waktu pandemik.

“Kami FaceTime setiap hari, tak pernah gagal,” katanya merujuk sebuah aplikasi televideo popular.

“Jujurnya, memang sukar sangat waktu mula-mula. Stres melampau sampai jatuh sakit. Menangis setiap hari sebab rasa pandemik ini macam tak akan berakhir.

“Harap-harap, semua akan okey nanti. Dia sentiasa ada untuk gembirakan hati, tapi memang tak boleh banding rasanya jika saya dapat peluk dia,” katanya kepada MalaysiaNow.

Walaupun ramai pasangan terpaksa bertahan dalam keadaan yang sukar ini, namun Covid-19 juga begitu ganas melerai dan merobohkan banyak hubungan.

Clarisse, 32, telah mencuba sedaya upayanya untuk mengekalkan hubungan dengan kekasih beliau dari Jerman ketika pandemik memisahkan mereka.

Namun selepas beberapa bulan sekatan perjalanan diteruskan dan gagal mendapat kebenaran ke luar negara daripada pihak berkuasa, Clarisse terpaksa menyerah kalah.

“Jangkaan dan rancangan kami tak dapat dilaksanakan secara baik,” katanya.

“Hubungan kami menjadi tegang, dan akhirnya kami terpaksa putuskan hubungan.

“Jarak dan perpisahan yang lama membuat kami stres terhadap semua hal. Jika tidak ada pandemik, saya mungkin sudah lama di Jerman. Kami pun boleh rancang hubungan dengan lebih baik,” jelasnya.

Clarisse berharap setiap pasangan berlainan kerakyatan tidak berputus asa dalam huungan walaupun banyak hal yang tidak pasti terpaksa dilalui mereka.

“Semua pasangan yang memiliki hubungan jarak jauh, anda mesti terus kuat dan saling percaya sesama sendiri,” ujarnya.