Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) tidak lagi bersifat politik semata-mata, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.
Katanya, semua program yang disusun akan melibatkan pelbagai kaum dan semua lapisan masyarakat.
“J-kom tidak akan bersifat politik, itu sangat penting. Ia akan bersifat berbilang kaum, dan akan disusun mengikut daerah dan bukannya kawasan Parlimen.
“Ini lebih sesuai untuk sebuah agensi kerajaan,” katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Katanya, program pertama J-Kom adalah mengenai komunikasi untuk orang kelainan upaya (OKU).
Bagaimanapun, menurut Saifuddin J-Kom ketika ini masih belum beroperasi, tetapi akan mengiklankan kekosongan jawatan dalam masa terdekat.
“Perkara pertama yang anda akan dengar daripada J-Kom adalah mengenai komunikasi untuk orang kelainan upaya.
“Kami tidak mempunyai juru bahasa isyarat bertauliah yang cukup.
“Kami mahu setiap daerah memiliki seorang juru bahasa isyarat … sehingga setiap kali ada majlis kerajaan, akan ada juru bahasa isyarat.”
Tambahnya, jurubahasa itu tidak perlu menjadi kakitangan sepenuh masa J-Kom, tetapi sekurang-kurangnya dapat dilatih oleh jabatan itu.
Pelaksanaan ini dilakukan berikutan keluhan yang diterima apabila juru bahasa isyarat di televisyen mempunyai ruang yang terlalu kecil untuk mereka.
“Sekiranya anda tidak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh seseorang, anda dapat menambah volume, tetapi jika anda tidak dapat melihat jurubahasa anda tidak boleh membesarkannya,” katanya.
J-Kom sebelum ini dilanda kontroversi apabila mendapat peruntukan RM85.5 juta bawah Belanjawan 2021 atas nama Jasa.
Sebelum Belanjawan 2021 dibahaskan di Dewan Rakyat, pengkritik termasuk beberapa bekas menteri mengatakan belanjawan baru itu agak berlebihan.
Namun selepas menerima bantahan, peruntukan untuk J-Kom yang dijenamakan semula itu dikurangkan menjadi RM40.5 juta.
Sementara itu menjawab mengenai sama ada kerajaan PN meneruskan program yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini katanya ia masih diteruskan berdasarkan pelan strategik 2019-2023.
“Pelan strategik 2019-2023 masih diteruskan bagaimanapun kita review juga semua pelan tersebut bagi mengikut kesesuaian pandemik Covid-19 yang mula melanda negara tengah tahun lepas dan akhir tahun ini.
“Jadi ini bermakna KKMM ada buat perubahan sedikit sana sini dan fokus kepada satu dua perkara baru.”