Minggu lalu, 200 liter vaksin yang bakal membantu dalam peperangan Malaysia menghadapi wabak Covid-19 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.
Ketika ketibaan, vaksin yang mampu menampung 300,000 suntikan itu disambut dengan kibaran bendera bersama barisan pemimpin termasuk Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri, Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, menteri yang mengetuai pengurusan suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.
Walaupun beberapa kali menteri memberi jaminan berkenaan keselamatan dan keberkesanannya. Orang awam masih sangsi untuk mendapatkan suntikan CoronaVac yang dihasilkan Sinovac dari China.
Bahkan, bagi golongan anti-vaksin – apa-apa vaksin pun ditolak golongan itu. Namun, ada juga sebahagian yang lain menerbitkan kebimbangan dengan alasan yang lebih spesifik.
Kebimbangan atau keresahan mereka itu berpunca daripada isu kadar keberkesanan daripada vaksin China tersebut. Beberapa ujian klinikal di luar negara menunjukkan CoronaVac hanya memiliki 50% kadar keberkesanan.
Peratusan itu lebih kecil daripada vaksin dari firma Amerika Syarikat, Pfizer dan BioNTech, dari Jerman serta Moderna dari Sputnik V, Rusia yang memiliki 90% kadar keberkesanan.
Wujud juga warga yang bimbang dengan asal usul vaksin itu kerana stigma “Made in China (Buatan China)”.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri terpaksa menerangkan hal tersebut bagi meredakan kebimbangan terhadap vaksin China itu dengan berkata ia menerima pengesahan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Ini semua (vaksin) yang dah dipakai dah diluluskan dan saya yakin bila (suntikan) dilaksanakan dengan teratur dan tersusun oleh jawatankuasa pengurusan vaksinasi yang dah kita jalankan sekarang, ia akan beri banyak kelebihan.,” kata Muhyiddin Yassin ketika lawatannya ke Perlis pada Jumaat.
Pakar kesihatan juga turut memberi jaminan kepada seluruh warga Malaysia mereka tidak perlu bimbang mengenai vaksin yang dihasilkan di China itu.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy, turut menjelaskan walaupun kadar keberkesanannya hanya 50%, namun data yang diterbitkan menunjukkan vaksin itu memiliki 84% keberkesanan bagi mencegah jangkitan, dan bahkan 100% efektif dalam mencegah kesakitan melampau dan kematian.
“Tak ada data yang banyak mengenai vaksin Sinovac, sama seperti Pfizer, AstraZeneca, Moderna, dan Johnson & Johnson,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Namun, kerana ia vaksin yang lebih ‘tradisional’, kesan sampingannya adalah serupa seperti vaksin-vaksin yang diketahui.
“Memang tak perlu bimbang, rakyat boleh ambil suntikan yang ditawarkan,” katanya dan menambah data yang wujud ketika ini menjelaskan suntikan Sinovac, adalah vaksin yang efektif.
Vaksin taruhan tinggi
Ketibaan CoronaVac di Malaysia menyusuli lebih dari 300,000 dos suntikan Pfizer-BioNTech yang tiba ke seminggu sebelum itu.
Jumlah itu adalah sebahagian daripada jumlah total 13 juta suntikan yang ditempah Malaysia.
Ia cukup untuk menampung 20% daripada populasi negara yang bakal menerima dua dos suntikan.
Putrajaya turut menempah beberapa vaksin lagi termasuk CanSino (China), Gamaleya (Rusia) serta kemudahan Covax yang diselenggara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa badan lain.
Khairy turut berkata kerajaan juga bakal menandatangan kontrak bersama Johnson & Johnson.
Program vaksinasi percuma secara besar-besaran dimulakan pada 24 Februari lalu demi memastikan penduduk negara ini dilindungi daripada Covid-19 yang sudah menjangkiti lebih 300,000 orang dan meragut lebih 1,500 nyawa.
Azrul Mohd Khalib, CEO Galen Centre for Health and Social Policy berkata vaksin-vaksin (Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca) di Malaysia mesti melalui penelitian dan pemeriksaan ketat bagi mendapat pengesahan NPRA.
Bagi mendapat pengesahan tersebut, setiap vaksin harus berjaya menyelesaikan beberapa ujian klinikal, terutama pada Fasa 3 yang akan menguji keberkesanan dan keselamatannya.
“Tak ada vaksin yang akan disah dan dilesenkan jika ia tida berjaya melalui Fasa 3.
“Jikalau ujian-ujian klinikal itu tak dapat dibuat di Malaysia pun, tak ada halangan untuk gunakannya,” katanya.
Bercakap kepada MalaysiaNow, Azrul berkata CoronaVac berjaya dalam ujian klinikal di negara lain, datanya memberangsangkan dengan menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi dan selamat. Ia juga dibuktikan memiliki kualiti pembuatan yang tinggi.
Katanya, disebabkan itu, tak ada alasan untuk mendakwa ia tidak disah atau dilesenkan bagi penggunaan di Malaysia.
“Kita kena percaya keputusan NPRA,” katanya.
“Agensi ini dianggap antara yang terbaik di rantau kita, bahkan ia terkenal kerana terlalu ketat dengan standard yang tinggi, kerana itulah Malaysia dikenali kerana memiliki standard yang tinggi jika ia berkaitan perubatan.”
Azrul yang aktif berkempen bagi membaiki dasar kesihatan awam dalam negara berkata beliau percaya keputusan NPRA untuk mengiktiraf keberkesanan dan keselamatan vaksin-vaksin yang disahkan, termasuk CoronaVac.
“Berkompromi mengenai hal ini hanya memandang rendah kepercayaan awam mengenai vaksin-vaksin Covid-19.
“Harga kepercayaan ini tinggi harganya,” katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.