- Iklan -
Berita

’24 jam uruskan rumah’: Pandemik asak kaum ibu hingga lesu

Stres dan lesu himpit kaum ibu yang terpaksa imbangi tanggungjawab pada keluarga, tugas dan kerja rumah sehingga tiada masa untuk diri sendiri.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Kaum ibu menghadapi tekanan dan stres akibat pandemik.
Kaum ibu menghadapi tekanan dan stres akibat pandemik.

Ketika suaminya berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja pada bulan Mac tahun lalu, Aishah Rahman, seorang suri rumah sepenuh masa di Batu Pahat, Johor, sedar kehidupannya akan berubah.

Sekelip mata, Aishah berseorangan menguruskan anak-anak di samping menjaga hubungan jarak jauh dengan suaminya.

Perubahan baru itu bertambah rumit disebabkan pandemik Covid-19, bermakna tahap stres yang perlu dihadapinya semakin bertambah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sepanjang tahun.

Memang benar, sejak dari tahun lepas, tugas dan tanggungjawabnya bertambah, sehingga pada satu ketika Aishah berfikir untuk lari sahaja.

Namun masih ramai yang menganggap kehidupannya sebagai seorang suri rumah sangat mudah.

“Orang masih menganggap kami duduk di rumah dan tidak lakukan apa-apa,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya minta anak sulung saya untuk menolong uruskan rumah kerana suami saya tidak ada di sini untuk membantu. Orang anggap saya susahkan anak sendiri. Mereka nak saya buat semuanya.”

“Buat semuanya” – yang dimaksudkan Aishah itu merangkumi pelbagai pekerjaan, dari mengurus rumah dan keempat-empat anaknya hingga menjadi tutor dan cikgu mereka semasa PKP.

“Sebelum ini, tentang hal pelajaran anak-anak, kami harapkan mereka belajar daripada cikgu di sekolah,” kata Aishah yang berumur 38 tahun.

“Tapi sekarang, kami juga dah jadi guru mereka. Kami harus mengajar mereka kesemua 10 subjek supaya mereka dapat menyelesaikan kerja rumah.

“Mereka bersama kami 24 jam sehari,” katanya.

Kaum ibu di seluruh dunia hadapi stres

Menurut pakar psikologi klinikal Jameela Ghazi, hal ini bukan lagi kes terpencil.

Jameela memberitahu MalaysiaNow bahawa pandemik menyebabkan apa yang dikenali sebagai stres ibu bapa di seluruh dunia, baik yang memiliki karier atau suri rumah, kerana peningkatan beban kerja dan tanggungjawab.

“Ketika kaum ibu terpaksa imbangi pelbagai tugas, kemampuan dan daya mereka akan berkurangan,” katanya.

“Sekiranya mereka adalah ibu yang bekerja, mereka perlu bekerja dari rumah dan memantau jadual dan aktiviti sekolah anak-anak pada satu waktu.

“Terpaksa melayani keperluan dan permintaan anak-anak sepanjang pandemik akan mengurangkan peluang ibu untuk menikmati aktiviti peribadinya.”

Beliau juga bercakap mengenai kelesuan keibuan, di mana ibu mengalami keletihan emosi dan fizikal kerana tekanan yang berpanjangan dan berlebihan.

“Semakin lama tempoh PKP, semakin sukar keadaan. Ini mengurangkan kesejahteraan psikologi ibu dan boleh mengakibatkan tekanan yang teruk,” katanya.

Apabila hal ini berlaku, ibu mungkin merasa kurang berpuas hati dengan prestasi mereka sebagai ibu dan mungkin mengalami perasaan jengkel sehingga boleh mengganggu proses membesarkan anak.

Terdapat juga masalah jurang gender, walaupun Jameela berkata ia mungkin sedikit menurun disebabkan PKP.

“Namun, dalam situasi di mana suami memiliki kesedaran yang rendah atau si ibu merupakan ibu tunggal, tanggungjawab si ibu mungkin jadi meningkat dengan ketara semasa pandemik,” katanya.

Beliau berkata, jika hal ini gagal ditangani, ia boleh menjadi punca disorientasi dalam keluarga baik dari segi emosi, pemikiran dan tingkah laku.

Jameela berkata beberapa laporan yang menunjukkan anak-anak juga menghadapi kegelisahan, keresahan dan kemurungan akibat tekanan psikologi ibu bapa mereka.

“Krisis kesihatan mental dalam kalangan kaum ibu juga boleh mempengaruhi kasih sayang mereka terhadap suami, yang boleh menyebabkan konflik rumah tangga yang ketara,” tambahnya.

Beliau berkata bahawa wanita memainkan peranan penting dalam banyak sektor termasuk penjagaan kesihatan, ekonomi dan pendidikan.

“Tekanan psikologi boleh menghalang kemampuan mereka untuk bekerja dan akhirnya mengurangkan prestasi mereka,” katanya di samping turut menyeru penerapan rancangan intervensi bagi mengurangkan tekanan pandemik bagi kaum ibu.

Bukan robot

Kembali di Batu Pahat, Aishah berkata dia kini kehabisan tenaga untuk melakukan semua perkara pada masa yang sama.

“Suri rumah bukan robot yang boleh melakukan tugas tanpa bantuan,” katanya.

“Saya sudah letih secara fizikal, jadi apabila orang berkata hidup saya mudah, ia memberi kesan kepada saya secara mental.

“Ini satu kerja yang tak dibayar.”

Aishah juga sukar mencari seseorang yang memahami apa yang dia lalui ketika ini.

“Siapa yang saya boleh bincang tentang kesukaran hidup saya? Bila saya cerita pada orang lain, orang akan anggap saya seorang isteri yang tidak bersyukur dan tidak taat.

“Inilah sebabnya mengapa anda lihat banyak isteri ceritakan kesukaran hidup di media sosial, kerana ketika kami mahu bicarakan hal ini dengan pasangan kami, mereka tidak mahu dengar.”

Sedangkan, katanya, ia adalah bahagian penting dalam membantu menyelesaikan masalah.

“Tidak didengari oleh pasangan kami sendiri menambahkan tekanan, terutama ketika kami terpaksa telan semuanya dalam hati.”

Aishah mengakui ada kalanya dia lari dari semuanya dan menghabiskan waktu untuk dirinya sendiri. Namun, memandangkan keadaan pandemik ketika ini, dia terpaksa belajar untuk terus tabah.

“Saya tak sabar nak tengok Covid-19 berakhir,” katanya.

“Ketika itulah saya akan luangkan masa sendirian untuk lepaskan tekanan dengan anak-anak saya”.