Amira Nur Afiqah baru berusia 14 tahun ketika dia diserang secara seksual oleh enam lelaki di sekolahnya. Pada malam malang itu, dia pulang dengan penuh rasa trauma, dalam hati, dia ambil keputusan untuk tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu.
“Saya malu,” kata Amira.
“Saya masuk ke tandas, bersihkan diri dan menangis. Ketika ibu datang menjemput saya, saya buat-buat normal. Saya tak beritahu sesiapa pun mengenai perkara itu.”
Amira adalah salah seorang daripada ramai mangsa gangguan dan serangan seksual di negara ini. Menurut statistik polis, 1,218 kes gangguan seksual dilaporkan dari 2013 hingga 2017, dengan 338 kes pada 2016 – Dalam setahun sekurang-kurangnya satu kes gangguan seksual dicatat setiap hari.
Bagi Amira, pengalaman pedih itu menghantuinya sejak sekian lama.
“Sepanjang tahun, fikiran saya jadi tak dapat fokus memikirkan kejadian itu,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Saya rasa itulah cara saya cuba atasi trauma yang saya alami.”
Pada tahun 2016, trauma Amira datang lagi apabila dia terjumpa salah seorang pemangsa yang juga merupakan seorang teman masa kecil.
Amira cuba membincangkan kejadian itu dengan mereka yang dipercayainya, namun malang datang lagi apabila dia sedar tidak semua orang boleh dipercayai.
“Saya beritahu bekas kekasih saya tentang hal itu. Pada awalnya dia sokong, tapi kemudian hubungan kami jadi kasar. Waktu itu trauma saya jadi lebih teruk dan saya mula mengalami gejala penyakit jiwa,” katanya.
Menyedari keadaannya yang semakin teruk, Amira mula mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional.
Pada tahun 2019, Amira didiagnosis dengan menghidap kemurungan, dan gangguan stres pasca trauma (PTSD) selain kegelisahan.
Pada akhir tahun itu, Amira memutuskan untuk menyertai sebuah kumpulan wanita dengan harapan dapat membantunya mengatasi trauma. Dalam kumpulan itu, Amira bertemu dengan wanita lain yang turut melalui pengalaman serupa.
“Ketika saya mendengar kisah mereka, saya mula rasa tak keseorangan. Yang saya mahukan hanya ada seseorang yang boleh dengar saya, dan sekarang saya harus kongsi pengalaman dengan mangsa lain.”
Ketika itulah dia memutuskan untuk berkongsi pengalaman pahit itu secara terbuka.
Namun, berkongsi tidak membawa maksud orang akan sentiasa ambil peduli.
Pengarah program Women’s Centre for Change Pulau Pinang, Karen Lai berkata jika mangsa tidak bicarakan masalah mereka, mereka akan menanggung hal itu berseorangan sehingga boleh menyebabkan PTSD, kemurungan sehingga dalam kes yang melampau, akan berfikir untuk membunuh diri.
Bagaimanapun, Karen turut mengingatkan bahawa wujud risiko ketika seseorang mangsa berkongsi cerita tentang gangguan seksual yang dialami mereka di media sosial.
Katanya, wujud individu yang cenderung untuk berikan respons negatif dan menyalahkan mangsa apabila mereka melihat orang lain berkongsi pengalaman mereka dalam talian.
“Budaya menyalahkan mangsa menjadikan mangsa sukar nak bersuara, dan yang paling teruk adalah, mangsa pula kemudian terasa ragu dengan diri sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.
Karen mendesak orang ramai untuk lebih peka dan menyokong mangsa gangguan seksual yang berkongsi cerita mereka di media sosial.
“Tanggungjawab masyarakat untuk memberi respons yang positif kepada mangsa yang bersuara dengan ambil tahu tentang trauma yang mereka alami,” katanya.
“Anggap serius setiap dakwaan itu. Ini bukan satu hal yang remeh dan lucu. Bukan sesuatu yang harus kita biarkan atau terima.”
Berhubung persoalan mengapa mangsa mahu suara mereka didengar orang lain, Karen berkata tindakan itu sebahagiannya adalah untuk menuntut kembali hak dan kuasa mereka.
“Apabila anda diserang secara seksual, kuasa anda dirampas dan anda tidak dapat merebut kembali kuasa itu. Media sosial memberikan ruang untuk mangsa mendapatkan suara dan kuasa.
“Ini bukan cara untuk mereka nak minta perhatian. Ia adalah tangisan meminta pertolongan.”
Karen turut berkata dengan berkongsi kisah mereka, mangsa mendapat keselesaan bersama komuniti. “Ada rasa keberanian dan keyakinan bila tahu bahawa anda tidak sendirian, dan pengalaman anda tidak dikecilkan.”
Bersuara apabila anda sudah bersedia
Ketika Amira mula berkongsi pengalamannya di media sosial, respons terhadap perkongsiannya bercampur-baur.
“Ada orang yang dekati saya dengan mengatakan mereka juga mengalami hal yang sama. Komen-komen itu sangat menggembirakan tetapi ada juga beberapa orang yang mengejek saya kerana berbicara.”
Pada mulanya, Amira kecewa. Namun kemudian dia mendapat keberanian dan selesa apabila mengetahui bahawa apa yang terjadi bukan salah dirinya.
“Saya tahu saya telah menolong gadis-gadis lain untuk berani bersuara mengenai trauma yang dialami mereka,” tambahnya.
Hal ini tidak selalu mudah, terutamanya ketika mereka mendapat banyak komen yang menyalahkan mangsa.
“Itulah sebabnya mengapa kita perlu didik masyarakat untuk membantu mangsa, sehingga apabila komentar negatif muncul, kita dapat lindungi mereka,” kata Amira.
Amira sememangnya arif mengenai risiko ketika berkongsi pengalaman diserang secara seksual dalam talian. Kerana itu, Amira menasihatkan mangsa lain untuk bersuara hanya apabila mereka sudah bersedia.
“Bagi saya, mereka harus berkongsi jika mereka mahu. Apabila anda berkongsi pengalaman anda, itu akan membuat orang lain sedar bahawa serangan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Jangan dengar orang yang memperolok-olokkan anda.
“Anda harus tahu akan ada orang yang akan sokong,” jelasnya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.