- Iklan -
Berita

Pemuda Singapura dicekup rancang serangan, kali ini sasarkan Yahudi

Pemuda itu sempat mengintip kawasan saumaah bagi merancang serangannya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Antara pisau yang diperolehi Amirull Ali pada 2016 bagi tujuan serangan. Gambar: MHA
Antara pisau yang diperolehi Amirull Ali pada 2016 bagi tujuan serangan. Gambar: MHA

Seorang pemuda berusia 20 tahun ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISA) bulan lalu kerana merancang untuk menyerang penganut Yahudi yang keluar dari saumaah menggunakan pisau.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata Amirull Ali yang juga seorang pelatih Khidmat Negara dalam Pasukan Bersenjata Singapura (SAF), merancang untuk menyerang tiga penganut Yahudi di Saumaah Maghain Aboth di Waterloo Street.

ISD berkata persiapan Amirull untuk serangan itu termasuk mengkaji gambaran anatomi manusia bagi mengenal pasti bahagian tubuh yang mana untuk ditikam.

Replika pisau juga direka oleh pemuda itu untuk berlatih cara menikam, selain membuat lawatan ke saumaah tersebut pada 2019.

Akhbar The Straits Times melaporkan Amirull membatalkan rancangan-rancangannya sebanyak dua kali kerana takut ditangkap polis dan turut merancang untuk ke Gaza bagi menyertai sayap bersenjata Hamas di Palestin.

Penahanan Amirull adalah kes kedua tahun ini menunjukkan sebuah trend radikalisasi dalam kalangan pemuda-pemuda Singapura untuk melakukan serangan terhadap kumpulan-kumpulan agama.

Pada Januari lalu, pihak berkuasa Singapura menahan remaja Kristian berumur 16 tahun yang merancang untuk menyerang dua masjid.

Remaja itu cuba meniru pembunuhan beramai-ramai di Christchurch, New Zealand yang berlaku pada 2019.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam berkara Amirull ditahan bukan kerana sokongannya terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Saya okey untuk dukung perjuangan rakyat Palestin, tapi tak okey pergi bunuh orang sesuka hati.

“Ia mencetuskan permusuhan, saling tidak percaya di antara kaum dan agama di Singapura,” kata beliau seperti yang dilaporkan The Straits Times sewaktu lawatan mengiringi pemimpin Muslim ke saumaah.

ISD turut berkata ia kini turut menumpukan isu mengenai perjuangan rakyat Palestin selepas video beberapa orang awam dibom pasukan udara.

“Kajian Amirull dalam talian mengenai konflik Israel-Palestin dan ia membuatkan dia percaya Israel menindas rakyat Palestin dan ia turut membuahkan kebencian terhadap Israel,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.