- Iklan -
Berita

Pemuda Bersatu gesa solusi diskusi dialog jelas perbezaan kepelbagaian kaum

Dialog inklusif dalam usaha mencari solusi terbaik melibatkan perbezaan sejarah, budaya dan bahasa di semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak perlu diadakan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Allah dalam kaligrafi Arab di Edirne, Turki. Gambar: AFP
Allah dalam kaligrafi Arab di Edirne, Turki. Gambar: AFP

Pemuda Bersatu (Armada) mencadangkan agar pihak berwajib menggalakkan mengadakan sesi dialog inklusif dalam usaha mencari solusi terbaik melibatkan perbezaan sejarah, budaya dan bahasa di semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, selepas mahkamah membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah bagi tujuan keagamaan dan pendidikan.

Pengerusi Biro Undang-undang Armada Mohamad Siddiq Azani  berkata penjelasan lebih mendalam terutama penggunaan kalimah Allah bagi agama lain selain Islam penting untuk dilakukan.

“Armada juga menyeru agar semangat muhibah antara kaum dan agama di Malaysia terus dipertahankan dan apa jua masalah berkaitan sensitiviti agama dapat diselesaikan melalui saluran lain dan tidak terhad kepada tindakan mahkamah semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Armada bimbang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang memutuskan bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

“Armada berpendapat bahawa keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan berdasarkan merit pada tahun 2013 yang tidak membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah kekal menjadi undang-undang tertinggi setakat ini.

“Oleh yang demikian, Armada menggesa agar Mahkamah Tinggi menjelaskan perbezaan keputusannya dengan yang diputuskan pada tahun 2013 tersebut demi mengelak dari spekulasi berterusan oleh orang awam,” katanya.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang ke atas permohonan seorang wanita Kristian berketurunan Melanau, Jill Ireland menggunakan Allah bagi tujuan keagamaan dan pendidikan.

Keputusan itu menghentikan kemelut pertikaian selama 13 tahun sejak Jill membuatkan fail permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 dengan tujuan menuntut pemulangan CD yang dirampas pada pada 11 Mei 2008 serta bayaran ganti rugi.

Pada hari yang sama mahkamah turut memutuskan kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Pada ketika itu, beberapa cakera padat (CD) bertajuk Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah telah dirampas sewaktu Jill tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.