Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Ini berikutan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez, 54, selepas mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.
“Saya mendapati alasan yang dikemukakan pemohon (Abdul Azeez) adalah tidak berasas. Pemohon juga gagal menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).
“Pada pandangan saya, kes ini bukan kes yang sesuai dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa sedia ada untuk mengetepikan dan membatalkan pertuduhan terhadap pemohon. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim.
Jelas Jamil lagi, pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihadapi Azeez adalah tidak cacat walaupun empat projek berasingan digabungkan dalam satu pertuduhan kerana suapan yang diterima adalah berkenaan kesemua projek tersebut.