- Iklan -
Berita

Rawatan alternatif atau perubatan moden? Mana lebih berkesan?

Selepas tidak sembuh dengan perubatan moden, mereka cuba pula rawatan alternatif.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Rawatan bekam menjadi amalan tradisi di pelbagai negara, namun keberkesanannya masih diragui. Gambar: AFP
Rawatan bekam menjadi amalan tradisi di pelbagai negara, namun keberkesanannya masih diragui. Gambar: AFP

Ekstrak pokok, mantera, jarum dan  pisau yang dibakar, sehinggalah pisau dan skalpel doktor jadi ikhtiar pesakit kronik apabila semua usaha tak dapat meredakan sakit.

Ketika ini, dunia menikmati perubatan moden yang dikelilingi ruang bersih dan jangka hayat manusia semakin tinggi berbanding dahulu.

Pil moden dan ubat-ubatan boleh menjadi efektif dalam melawan penyakit yang dihidapi ramai orang, dan apabila perlu dibedah, mereka akan memilih pilihan itu.

Namun, masih  ramai individu dan budaya masyarakat yang meyakini ubat-ubatan tradisional boleh membantu terutamanya ketika perubatan moden tidak berjaya mengubati penyakit mereka, dan kemudian ia menjadi pilihan utama bagi sesetengah gaya hidup.

Hakikatnya, perubatan alternatif itu semakin mendapat tempat di beberapa negara maju.

Ayurveda, refleksologi dan perubatan Cina adalah antara rawatan alternatif yang popular ketika terdesak atau hanya kerana trend dan gaya hidup.

Terapi bekam contohnya adalah salah satu bentuk perubatan alternatif di mana cawan digunakan untuk menyedut darah dari kulit selepas ia di panaskan.

Berbekam juga disifatkan oleh ahli perubatan sebagai pseudo-sains, bahkan amalan itu juga turut diragui. Tidak wujud bukti bahawa ia memberikan manfaat kesihatan dan bahkan memiliki risiko lebih-lebih lagi dari bekam darah atau bekam api.

Namun, walaupun diingatkan mengenai risikonya. Ramai lagi orang yang sedia untuk menjalani terapi tradisional tersebut.

Keberkesanan rawatan alternatif masih kabur kerana statistik mengenainya masih tidak mencukupi. Persepsi mengenai keberkesanannya diuar-uarkan hanya daripada pengalaman individu.

Kebanyakan orang, pengalaman pertama rawatan alternatif mereka adalah selepas mendengar cadangan rakan.

Hisham, 50 tahun, dari Kuala Terengganu, menderita jari bergetar kerana menggunakan tetikus komputer dalam tempoh yang lama.

“Bila jadi begitu, jumpa doktor biasanya dia beri anda ubat hilangkan rasa sakit,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sakit yang dirasai Hisham kemudian menjadi semakin teruk sehingga dia bersedia untuk cuba apa sahaja rawatan untuk melegakannya.

Seorang rakan yang menderita kesakitan sama mengesyorkan agar dia mengunjungi pusat refleksologi tempatan, yang dikatakan berjaya menyelesaikan masalahnya.

Rawatan refleksologi adalah berdasarkan kepercayaan kuno Cina mengenai qi, atau “tenaga” yang mengalir dalam tubuh. Apabila seseorang merasa tertekan, tubuh mereka menyekat qi yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan sehingga menyebabkan penyakit. Refleksologi bertujuan untuk memastikan qi terus mengalir.

Bahagian badan dan organ dalaman bertindak balas terhadap titik tekanan yang berbeza pada kaki, tangan dan telinga, dan ahli refleksologi menggunakan titik-titik ini untuk menentukan di mana mereka harus letakkan tekanan.

Hisham putuskan untuk mencuba.

Dia memberitahu MalaysiaNow bahawa setelah enam sesi rawatan selama dua bulan, masalah jari yang bergetar sembuh.

“Tangan saya jauh lebih baik dan hampir kembali normal. Sebelum ini, terasa sakit ketika saya membengkokkan jari tetapi sekarang dah banyak kurang rasa sakit,” katanya.

Menurut orang yang ditemuinya di pusat tersebut, kebanyakan pesakit melihat keadaan mereka bertambah baik selepas sekian lama menderita.

Satu skor untuk rawatan alternatif.

Suganthi, 60 tahun dari Shah Alam, sebaliknya tidak begitu yakin.

Dia menderita tendonitis peroneal: sakit pergelangan kaki kronik yang biasanya terjadi setelah terseliuh teruk disebabkan oleh latihan yang berpanjangan.

Suganthi menderita penyakit itu di kaki kanannya.

Ketika pertama kali mengadu sakit, beberapa rakan mengesyorkan dia mencuba ubat tradisional Cina.

Ibunya menderita patah tulang beberapa tahun sebelum ini, dan rawatan tradisional Cina berjaya menyelesaikan masalah ibunya, jadi Suganthi beranggapan dia juga harus mencuba.

“Mereka gosok sejenis ramuan herba dan membalut kaki saya dengan pembalut yang mereka biarkan selama berhari-hari,” katanya kepada MalaysiaNow.

Setelah menjalani beberapa sesi rawatan, Suganthi tidak merasa semakin sembuh.

“Rasa sakit tidak hilang,” katanya. “Saya telah membayar RM120 untuk setiap sesi, tapi tak ada-apa yang berubah.”

Masih tidak putus asa untuk mendapatkan rawatan yang berkesan, dia kemudian menggunakan doktor moden dan akhirnya menjalani prosedur pembedahan yang melegakan beberapa kesakitan, namun sakitnya tidak pulih sepenuhnya.

Seorang rakannya kemudian mengesyorkan agar dia mencuba rawatan akupunktur.

“Ia tidak terlalu mahal jadi saya sanggup mencuba. Tetapi tidak berkesan juga.”

Jadi, dia kembali ke perubatan moden.

“Selepas akupuntur, doktor memberikan saya pembedahan kedua, tetapi tetap tidak berubah. Saya sudah hidup dalam kesakitan ini selama 10 tahun sekarang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Keluarga dan rakannya meyakinkannya untuk mencuba rawatan alternatif sekali lagi.

“Kali ini mereka seriang mencadangkan rawatan Ayurveda,” katanya.

Ayurveda merupakan perubatan Hindu berdasarkan idea untuk menyeimbangkan sistem badan yang menggunakan diet, rawatan herba dan teknik pernafasan yoga.

“Hingga kini saya enggan mencubanya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya sudah hilang keyakinan terhadap perubatan alternatif.”

Walaupun tidak melihat kesan positif, dia mengatakan terdapat kebaikan dan keburukan dalam rawatan alternatif.

Dia menasihatkan orang ramai agar mendapatkan pandangan pakar perubatan sebelum mencuba rawatan alternatif.

Jadi, apabila perubatan moden dan rawatan alternatif gagal apa yang harus dilakukan?

Apabila semuanya sudah dicuba seperti Suganthi, adakah membiasakan diri hidup dalam kesakitan menjadi pilihan?

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.